Desakan kepada Najib, kembalikan mandat rakyat

HARAKAHDAILY | .

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengatakan beliau tidak keseorangan berhadapan situasi semasa yang dihadapi negara sekarang tetapi adakah mereka yang dikatakan menjadi teman penasihat di sekeliling PM Najib itu benar-benar memberikan nasihat atau sekadar menjadi tukang ampu dan pembodek sahaja?

Jikalau tidak, masakan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir kian lantang menegur kelemahan dan kegagalan PM Najib.

Semakin hari, semakin bertambah suara yang mengkritik kegagalan PM Najib. Apabila Pakatan Rakyat yang menegur, kerajaan memandang enteng sahaja kerana dikatakan suara pembangkang tetapi kini antara suara lantang yang menentang PM Najib ialah veteran Umno dan bekas Menteri Umno.

Saya menyokong cadangan Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mencadang agar PM Najib segera membubarkan Parlimen agar mandat terbaru daripada rakyat boleh diterima.

Apa yang berlaku hari ini bukanlah krisis dalaman Umno semata tetapi ia melibatkan masa depan negara kita yang tercinta ini. Ia tidak boleh diselesaikan sekadar dengan membuat perhimpunan sayap dan bahagian Umno demi menyatakan taat setia yang tidak berbelah-bahagi kepada Presiden Umno. Hal ini kerana yang  hendak diselamatkan sekarang adalah negara bukan Umno.

Cadangan penyelesaian menukarkan pemimpin nombor 1 tidak mampu menyelesaikan masaalah kerana kelemahan pemimpin lain yang ada inilah yang membiarkan keadaan makin kusut dengan cara mereka menyokong membuta tuli sahaja PM Najib.

Sudah tiba masanya rakyat diberikan peluang kembali untuk membuat pilihan menyerahkan mandat teraju kepimpinan negara ini kepada BN ataupun PR.

Permasalahan yang dihadapi negara sekarang bukanlah sekadar perbalahan antara PM Najib dengan Tun Dr Mahathir tetapi ia adalah krisis kepercayaan rakyat kepada kerajaan dan kepimpinan negara secara seluruhnya. Masih belum terlambat untuk kita meletakkan kembali Malaysia pada landasannya yang sebenar. - HARAKAHDAILY 24/4/2015
 
DATUK MAHFUZ OMAR
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ketua Whip Ahli Parlimen PAS

Share on Myspace