Membongkar penipuan kerajaan mengenai GST

HARAKAHDAILY | .

DI dalam perbentangan Bajet 2015, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak menyatakan:

1. 532 barang atau 56 peratus dijangka mengalami penurunan harga sehingga 4.1 peratus selepas perlaksanaan GST.

2. 354 jenis barang dan perkhidmatan yang akan mengalami kenaikan harga tidak melebihi 5.8 peratus.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan pula telah berkali-kali mengulang-ulang bahawa harga barang akan turun apabila GST dilaksanakan di parlimen dan Twitter beliau.

Pada 22 Disember 2013, Ahmad Maslan pernah berkata:

“Mengapa mereka (Pakatan Rakyat) tidak mahu GST? Kerana akhirnya harga barang akan turun. Apabila harga barang dan perkhidmatan turun, pembangkang tidak mempunyai modal untuk menyerang kerajaan. Selama ini mereka mengaitkan Barisan Nasional (BN) dengan ‘Barang Naik’ tetapi apabila GST dilaksanakan, barang akan turun.”

Hari ini, PAS mencabar kerajaan menunjukkan bukti 532 barangan yang mengalami penurunan harga dan 345 jenis barang dan perkhidmatan yang hanya mengalami kenaikan harga kurang daripada 5.8% sedangkan GST ialah pada tahap 6%?

Dari segi pengangkutan sahaja, rakyat marhaen sudah boleh membuktikan bahawa BN menipu apabila mereka terpaksa merana caj GST yang dikenakan pada insuran kereta, cukai jalan, dan kenaikan harga dan GST yang dikenakan pada penyelenggaraan kereta serta tayar. Begitu juga kos ubat-ubatan. Mereka terpaksa membayar cukai GST pada harga yang sudah dinaikkan.

Percayalah, derita mereka ini tidak diketahui BN kerana mereka terpengaruh dengan Ahmad Maslan sehingga mempercayai GST telah berjaya menurunkan harga barangan. PAS akan terus membongkar penipuan BN mengenai GST sepanjang kempen PRK Rompin ni.

Cabaran debat

Saya juga ingin mencabar Ahmad Maslan untuk berdebat di Rompin untuk mempertahankan kata-katanya terhadap Pakatan Rakyat, dan membuktikan bahawa GST telah menyebabkan harga barangan turun.

PRK Rompin membuka peluang ini untuk Ahmad Maslan mempertahankan GST di depan rakyat, terutamanya para penyokong Umno. Datanglah ke Rompin untuk membuktikan bahawa Pakatan Rakyat tersilap membantah GST. Marilah memberi nasihat supaya rakyat Rompin perlu lebihkan memasak di rumah untuk mengelakkan GST tatkala harga makanan asas seperti sayur, daging dan ikan melambung walau tidak dikenakan GST.

Kerajaan terbukti gagal untuk merendahkan harga barangan ketika menurunkan harga minyak ke RM1.70. Oleh itu, apakah rakyat akan percaya pada kata-kata Najib, terutamanya Ahmad Maslan bahawa penurunan harga barangan akan berlaku selepas GST dilaksanakan?

Bantu Dr Mahathir

Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan bahawa RM27 bilion telah lesap daripada 1MDB. Beliau berkata kalau kerajaan rugi, kita akan tahu duit ke mana, tapi di 1MDB, duit sebanyak RM27 bilion lesap tanpa dikesan.

Sebenarnya perkara ini tidak baharu dalam BN. Setiap kali menaikkan harga minyak, kerajaan BN akan berkata sejumlah beratus juta telah berjaya dijimatkan, tapi sehingga kini tiada siapa yang tahu ke mana lesapnya duit yang dijimat itu.

Dalam Bajet 2015, Najib berkata GST bakal memberikan pulangan RM23.2 bilion kepada kerajaan. Ke manakah duit ini akan disalurkan? Apakah mungkin ia akan digunakan untuk menutup lubang RM27 bilion yang kehilangan di 1MDB? Ataupun ia lesap begitu sahaja? Tiada siapa yang tahu.

Untuk membolehkan Dr Mahathir mendapatkan jawapan daripada Najib, rakyat Rompin perlu memberikan undi kepada PAS di PRK Rompin. Keputusan PRK Rompin bakal menentukan nasib misi Dr Mahathir menyelamatkan Umno dan Malaysia daripada kemelut 1MDB yang melibatkan Najib. – HARAKAHDAILY 24/4/2015

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Pengarah JK Induk PRK P91 Rompin
Naib Presiden PAS

Share on Myspace