Ustaz Nazri seru pengundi buat perubahan

SALMIYAH HARUN | .

ROMPIN: Calon PAS Pilihan Raya Kecil (PRK) P.091 Rompin Ustaz Nazri Ahmad mengajak para pengundi untuk membuat perubahan di parlimen itu yang sekian lama berada di bawah jajahan Umno-BN.

Beliau berkata, perubahan itu perlu dilakukan sebagai satu isyarat kepada kerajaan bahawa mereka tidak boleh sewenang-wenangnya untuk membuat sesuatu dasar baru yang membebankan rakyat seperti GST.

"Kerajaan tidak sensitif dengan bebanan yang ditanggung rakyat. Sudah 13 kali kita bagi peluang kepada BN.

"Sama-samalah kita buat perubahan di Rompin. Jika BN kalah 7 Mei ini, tidak mustahil BN akan kaji balik GST atau mungkin mereka akan mansuhkan GST," katanya ketika berkempen di pasar malam DUN Bukit Ibam.

Katanya, kerajaan akan tunduk kepada kemahuan rakyat sekiranya rakyat memperlihatkan kuasa dan bantahan mereka.

Ia sebagaimana berlaku sebelum ini apabila rakyat membantah undang-undang zalim ISA akhirnya kerajaan akur terpaksa mansuhkan ISA begitu juga bantahan terhadap PPSMI.

"Saya yakin pengundi Bukit Ibam pengundi yang bijak. Ya, BN kalah di Rompin kerajaan negeri tidak berubah tetapi akan ada suara ia akan membuat kerajaan tidak selesa dengan apa yang dia buat kepada rakyat," katanya.

DUN Bukit Ibam N.40 mempunyai seramai 19,561 pemilih dan merupakan DUN yang paling ramai pengundi berbanding di dua lagi DUN iaitu Muazam Shah seramai 17,394 pengundi dan Tioman 16,339 pengundi. – HARAKAHDAILY 25/4/2015

Share on Myspace