Calon BN kata GST tak bebankan orang kampung

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

ROMPIN: Kenyataan calon BN Datuk Hassan Ariffin bahawa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak membebankan orang kampung, dianggap hanyalah kenyataan politik.

Penganalisis politik negeri Pahang Syed Ali Badarudin Osman berkata (Gambar atas), pada hakikatnya rakyat selaku pengguna tetap terbeban dengan kenaikan harga barangan akibat GST.

Katanya, memang Rompin bukan sebuah bandar besar dan mungkin benar tiada restoran besar atau pasar raya besar namun dari segi barangan tetap naik harga sama seperti tempat-tempat lain kerana daripada pengeluar yang sama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Hassan yang mengatakan penduduk  Rompin tidak akan terkesan dengan GST kerana tinggal di sebuah daerah kecil.

Katanya, orang kampung hanya akan merasa kesan GST apabila ke bandar untuk berbelanja.

“GST ini tidak ada kesan sangat kepada orang kampung melainkan mereka ke bandar membeli barang dan baju, itu baru ada kesan.

“Restoran-restoran di Rompin mana ada jualannya RM500,000 setahun. Tak banyak. Di Rompin, mana ada kedai-kedai mencapai jualan begitu tinggi sebab luar bandar,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Dewan Semai Bakti Felda Keratong 10 semalam.

Ucapan beliau turut dipetik oleh beberapa media.

Syed Ali berkata, Hasan mungkin berkata demikian sebagai jalan mudah menangkis kempen PAS yang menggunakan slogan ‘satu undi PAS, tolak GST’.

“Jika kita tengok setelah pelaksanaan GST sudah tentu kos dan ‘over head’ pengeluar dan pembekal meningkat dan mereka terpaksa menaikkan harga barangan mereka.

“Jadi kesan akhirnya mesti terbeban ke atas rakyat selaku pengguna,” katanya.

Syed Ali berkata, mungkin pihak kerajaan menuduh itu salah peniaga yang tamak mengambil kesempatan bukan sebab GST namun sejarah membuktikan pihak kerajaan amat lemah dalam penguatkuasaan.

Menurutnya, sebagai contoh apabila kerajaan menurunkan harga minyak sedikit masa dulu dan menyeru supaya peniaga menurunkan harga barang. Harga tidak turun sebaliknya harga barang yang sudah sedia tinggi terus melonjak.

“Jangan ingat rakyat dikenakan GST apabila membeli barangan sahaja malah turut terkesan dengan kenaikan tambang pengangkutan awam seperti bas dan teksi,” ujarnya.

Katanya, sebab itu beliau menganggap kenyataan Hasan hanyalah bersifat politik bagi mengelakkan rakyat daripada mengundi calon PAS yang menentang GST. – HARAKAHDAILY 25/4/2015

Share on Myspace