Pertabalan: Tuanku Nazrin titah elak pembaziran

SABARINA BAHAROM | .

IPOH: Tiada pertunjukan bunga api, elak pembaziran dan guna kemudahan sedia ada.
    
Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin berkata itu adalah titah Sultan Nazrin Shah kepada jawatankuasa induk yang diwujudkan bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV.
    
"Saya ingin maklumkan satu daripada titah Tuanku Nazrin ialah mengelakkan pembaziran dan menggunakan kemudahan-kemudahan yang terdapat ketika ini, (jadi) kita tidak mendirikan pintu gerbang yang baharu. Kita gunakan pintu gerbang sedia ada tetapi kita ubah suai, lepas itu kita pasang lampu-lampu untuk menampakkan keceriaan pada sepanjang perayaan ini.
    
"Ini secara tidak langsung mengurangkan perbelanjaan. Saya ingat penjimatan adalah dalam 60 peratus (berbanding istiadat pertabalan sebelum ini)," kata Mohd Zahidi yang juga pengerusi jawatankuasa induk itu kepada Bernama baru-baru ini.
    
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, yang juga pengerusi bersama jawatankuasa induk itu, dan Setiausaha Dewan Negara Perak Datuk Ayop Hashim, yang merupakan setiausaha jawatankuasa berkenaan.

Mohd Zahidi berkata Sultan Nazrin memutuskan demikian kerana baginda amat prihatin dengan situasi semasa.
    
"Bukannya Tuanku ataupun kerajaan negeri tidak berkemampuan tetapi Tuanku menitahkan untuk mengelak penggunaan bunga api kerana bunga api itu disifatkan sebagai pembaziran dan seperti membakar duit.
    
"Walaupun ada syarikat-syarikat yang tampil untuk menaja tetapi Tuanku seorang raja yang amat prihatin terhadap persepsi rakyat sebab satu daripada perkara yang Tuanku betul-betul nak tentukan ialah tidak ada pembaziran, jimat mana yang boleh, menggunakan kemudahan-kemudahan sedia ada," katanya.
    
Abdul Puhat pula berkata pihaknya menggalakkan sektor swasta dan kerajaan memasang lampu sedia ada dan bukan lampu baharu sepanjang sambutan itu.
    
"Dalam jamuan rakyat pun, Tuanku turun ke padang bersama rakyat, dan lokasi yang kita telah kenal pasti ada empat untuk jamuan rakyat iaitu di atas padang dan dataran, bukan kita buat di hotel dan sebagainya.
    
"Tajaan kita ada satu sahaja iaitu untuk larian pertabalan, itupun dalam kos yang minimum untuk membiayai kemeja T lebih kurang RM15 sehelai," katanya.
    
Sehubungan itu, Abdul Puhat berkata pihaknya menggalakkan bank dan institusi kewangan untuk membiayai kos larian pertabalan.
    
"Kita sasar larian ini melibatkan 10 daerah, setiap daerah ada 1,000 hingga 3,000 orang yang terlibat, jadi semua sekali yang terlibat lebih kurang 10,000 hingga 30,000 orang.
    
"Sebab itu kita tak minta banyak, sumbangan kerana pakaian sahaja bukan sumbangan untuk keraian atau bunga api. Kita berpendapat dalam keadaan ekonomi sekarang tidak sesuailah untuk kita membazir," katanya.
    
Abdul Puhat berkata meskipun mengambil langkah berjimat, kemeriahan sambutan bersempena pertabalan dijangka tidak berkurangan.
    
"Sebagai contoh kita sasar, yang pertama, pelajar-pelajar sekolah, untuk mereka kita buat pertandingan mengarang esei dan pidato. Ia meliputi sekolah menengah rendah dan menengah atas, dan kita jangka hampir 8,000 terlibat.
    
"Jadi apabila 8,000 terlibat meliputi semua daerah, dan apabila mereka terlibat ibu bapa pun terlibat sama, jadi kemeriahan dirasai bersama. Kita juga cuba untuk menanam semangat kenegaraan, memahami institusi kesultanan, perlembagaan dan sebagainya menerusi tajuk-tajuk yang diberi dalam esei dan pidato," katanya.
    
Beliau berkata meskipun tiada pertunjukan bunga api, pihaknya menganjurkan persembahan Tatu oleh angkatan tentera pada 16 Mei ini di Stadium Perak di sini, yang menggambarkan semangat kesatriaan membabitkan kerjasama polis, tentera dan agensi lain.
    
Selain itu, golongan muda digalakkan menyertai Larian Pertabalan pada hari sama dan dijangka disertai 3,000 orang dari seluruh negeri Perak.
    
Beliau berkata majlis doa selamat serta selawat di masjid seluruh Perak turut diadakan pada 3 Mei ini.
    
Katanya bagi bukan Islam tiada acara khusus disediakan namun mereka boleh terlibat secara langsung dalam pelbagai program yang dianjur bersempena istiadat pertabalan itu. - BERNAMA

Share on Myspace