PAS mempunyai cara tersendiri - Presiden

ASLANI M | .

TUMPAT: Biarpun PAS mempunyai hubungan dengan gerakan Islam di negara-negara lain, namun kaedah pendekatannya berbeza.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata pendekatan PAS tidak sama dengan Ikhwan Muslimin di Mesir atau mana-mana negara Arab lain

"PAS juga tidak sama dengan AKP di Turki, PKS di Indonesia, Syiah di Iran.

"PAS mempunyai cara tersendiri dan tidak serupa dengan parti-parti yang berteras Islam seperti di negara lain.

"PAS bukan seperti Taliban atau al-Qaeda yang menggunakan pendekatan keras," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung PAS Tumpat di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Mursyidul Am PAS, Ustaz Datuk Ahmad Yakob yang juga Yang Dipertua PAS kawasan itu.

Mesyuarat agung kali ke-58 turut menyaksikan pertandingan jawatan timbalan Yang Dipertua antara penyandang, Mohd Zaki Ibrahim dengan Adun Wakaf Bharu, Datuk Che Abdullah Mat Nawi. Manakala Naib YDP antara Mohd Nawi Adam dan Wan Ruslan Wan Ahmad.

Turut hadir anggota jawatankuasa PAS Pusat Datuk Kamaruddin Jaffar. Pemilihan tersebut dikendalikan PAS Pengkalan Chepa.

Ustaz Abdul Hadi berkata Islam menggunakan pendekatan politik damai dan hanya berperang bagi mempertahankan negara.

Katanya juga parti berteras Islam di Indonesia ada sehingga 30 buah yang memperlihatkan tidak kesatuan dalam kalangan mereka.

Menurutnya, bilangan yang banyak itu tentunya sukar untuk mendapat kejayaan yang besar dalam pilihan raya.

"Saya baru seminggu lepas diundang ke Indonesia menghadiri perjumpaan dengan parti-parti Islam di sana.

"Kita tidak perlu parti Islam yang banyak sangat seperti di Indonesia.

"Kalau dikumpul jumlah undi yang diperolehi parti-parti Islam pada pilihan raya lepas sudah tentu mendapat jumlah yang agak besar," katanya.

Beliau juga berkata PAS bersetuju untuk tidak bersetuju dengan DAP yang menolak pelaksanaan perundangan Islam di Kelantan.

Bagaimanapun menurutnya PAS tidak bertolak ansur dengan perkara yang menjadi teras dalam perjuangan PAS. - HARAKAHDAILY 25/4/2015

Share on Myspace