PRK Rompin: Isa Samad, jawablah isu Felda

HAZAYANI ZAKARIA | .

ROMPIN: PAS mendesak Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad menjawab segala isu berkaitan peneroka Felda yang masih gagal dijelaskan.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin merupakan masa terbaik untuk Isa membuat penjelasan kerana sebahagian besar pengundi ialah peneroka.

Isu seperti kedudukan Felda Global Ventures Holding (FGVH) selepas disenaraikan dalam Bursa Malaysia dan saham FGV yang jatuh katanya masih belum dijelaskan.

"Tan Sri Isa Samad kata beliau bersedia beri penjelasan mengenai isu-isu Felda yang dibangkitkan. Jadi inilah waktu yang sesuai.

"Apa yang dilakukan FGV dalam keadaan ekonomi tidak stabil?" katanya pada sidang media di Markas Induk PAS PRK Rompin, Bandar Satelit Muadzam Shah, hari ini.

Mazlan yang juga Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) juga membangkitkan Perjanjian Tanam Semula dan Pengurusan Kebun di antara Felda dan peneroka yang dilihat berat sebelah.

"Tidak munasabah setelah peneroka membayar hutang piutang dan memperolehi geran hak milik tanah, mereka sekali lagi dipaksa menandatangani perjanjian.

"Perjanjian untuk tanam semula ini pula menyebabkan peneroka terus membayar hutang kepada Felda, sampai tua pun tak habis," katanya.

Justeru beliau berkata, Anak menganjurkan Himpunan Perdana Selamatkan Felda di Felda Jeratong 4 bermula hari ini sehingga esok bagi membincangkan isu-isu peneroka.

"Esok ada seminar sehari yang menampilkan tokoh-tokoh yang berpengalaman dalam Felda dan bidang ekonomi.

"Peneroka boleh bertanya secara terus kepada mereka permasalah mereka," katanya.

Resolusi seminar itu katanya, akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada sidang media sama mendesak kerajaan mengkaji semula perjanjian di antara Felda dan peneroka.

"Kaji semula perjanjian supaya peneroka tidak terus terbeban," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan merasmikan himpunan malam ini. - HARAKAHDAILY 25/4/2015

Share on Myspace