Silap faham PAS Permatang Pauh selesai

MOHD SABRI SAID | .

PERMATANG PAUH: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Datuk Mohd Salleh Man yang bertindak sebagai 'orang tengah' berhubung silap faham melibatkan PAS Permatang Pauh bersyukur kerana ia sudah selesai.

Beliau mengusahakan Pesuruhjaya PAS negeri, Mohamad Sabu, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, Setiausaha Perhubungan PAS negeri, Fadzil Kemi, Pengerusi Perhubungan PKR negeri, Datuk Dr Mansor Othman dan beberapa anggota  Dewan Harian PAS Kawasan Permatang Pauh bertemu supaya salah anggapan itu tidak berpanjangan.

"Jadi, mulai hari ini PAS Kawasan Permatang Pauh akan melancarkan jenteranya di Dewan Haji Yusof Rawa, Kampung Sama Gagah sekaligus menghentikan konflik berkenaan," katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri.

Jelasnya, pertemuan semalam diadakan di Hotel Light Seberang Jaya sebelum majlis pengumuman calon PKR pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh diadakan di SP Arena, Seberang Jaya malam tadi.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Permatang Pauh, Omar Hasan sewaktu ditemui juga melahirkan kegembiraan kerana masalah tersebut dapat diselesaikan dengan cepat.

"Ramai kalangan kami tidak fahami apa yang dimaksudkan oleh Wan Azizah mengenai hukum hudud. Pertemuan malam tadi kami anggap pertemuan muhibah sebagai penerangan untuk kebaikan semua," katanya. - HARAKAHDAILY 25/4/2015

Share on Myspace