Muslimat PAS ketuk pintu rumah perjelas isu

HARAKAHDAILY | .

PERMATANG PAUH: Dewan Muslimat PAS Pusat berjanji akan mengetuk setiap pintu rumah pengundi bersama dengan wanita PKR dan DAP untuk memperjelaskan isu yang berbangkit sekarang supaya masing-masing tahu menunaikan tanggungjawab terhadap demokrasi.

Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, para petugas PAS pada PRK Parlimen Permatang Pauh yang datang dari empat negeri utara iaitu Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang akan membantu gerak kerja yang dibahagikan nanti.

"Muslimat PAS akan mengetuk pintu setiap rumah pengundi bersama wanita PKR dan DAP supaya mereka keluar mengundi sekaligus mengajar Umno Barisan Nasional (BN) yang senantiasa menindas rakyat," katanya.
.
Katanya, fokus utama Muslimat PAS pada PRK kali ini adalah memperjelaskan isu semasa yang mencengkam kehidupan rakyat seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kenaikan harga petroleum dan seumpamanya.

Muslimat PAS, katanya akan berkampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Permatang Pasir yang dimenangi oleh calon PAS, Datuk Mohd Salleh Man.

"Kita minta petugas negeri yang berdekatan membantu PKR di Permatang Pauh manakala negeri berdekatan Parlimen Rompin pergi ke sana," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang. - HARAKAHDAILY 25/4/2015

Share on Myspace