'Ingatlah Anwar, ingatlah segala pengorbanan beliau'

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .

PERMATANG PAUH: Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengharapkan semua pengundi memberi undi kepada beliau dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh 7 Mei nanti.

Beliau yang menjadi calon mewakili Pakatan Rakyat itu berkata, sokongan terhadap beliau adalah sebagai tanda memperingati pengorbanan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini sedang dipenjara selama lima tahun.

"Pilihan raya kecil ini satu sahaja yang saya ingin ingatkan kepada semua, ingatlah kepada Anwar. Ingatlah segala pengorbanan beliau," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkas selepas selesai penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Bukit Mertajam dekat sini hari ini.

Turut hadir adalah pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti termasuklah Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu; Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali; Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan Setiausaha Agung PKR, Lim Guan Eng serta ribuan penyokong.

Wan Azizah turut merakamkan jutaan terima kasih kepada semua penyokong yang hadir dari seluruh pelosok negara bagi menyatakan sokongan terhadap calon Pakatan Rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau melahirkan rasa kesal apabila ada yang cuba menggambarkan pilihan raya ini adalah 'main-main'.

"Ada yang kata kita main-main. Duduk dalam penjara tu depa (mereka) ingat main-main ke?

"7 Mei ni kita jangan main-main, kita pastikan Keadilan menang," pesan beliau. - HARAKAHDAILY 25/4/2015

Share on Myspace