Bakar bendera, PAS gesa kempen bersih

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

ROMPIN: Berbeza dengan saranan calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin yang mahukan pertandingan secara bersih, PAS menghadapi provokasi pertama apabila benderanya dibakar di Felda Selancar 2 di sini kelmarin.
 
Sehari selepas penamaan calon Datuk Hasan Arifin dalam sidang medianya menyeru PAS supaya bertanding secara bersih dan anak jantan (gentleman).
 
Namun kelmarin PAS menerima cabaran apabila mendapati benderanya dibakar oleh pihak yang bertanggungjawab yang belum dikenali.
 
Sehubungan itu, Pengarah Amal Pahang Sahruddin Mohamad mahu pihak polis menyiasat insiden tersebut sehingga pengkhianat itu diambil tindakan.
 
“Kita harapkan pilihan raya yang kita sertai kali ini kempennya bersih, aman dan mesra rakyat namun apa yang berlaku amat mengecewakan.
 
“Suasana kempen yang kita harapkan berlangsung secara matang dan sihat berikutan negara sedang menuju negara maju dan lebih bertamadun, tetapi berlaku sebaliknya,” katanya kesal.
 
Justeru beliau menyeru agar semua penyokong parti berpolitiklah dengan pintar,  bertamadun dan cuba mengelak daripada melakukan taktik kotor seperti itu.
 
Semalam, ahli PAS membuat dua laporan polis kes membakar bendera parti yang berlaku di dua tempat yang beasingan di tanah rancangan Felda Selancar 2 dalam Dun Ibam. - HARAKAHDAILY 25/4/2015

Share on Myspace