Tanjung Gemok gagal dinaik taraf jeti utama ke Tioman

SALMIYAH HARUN | .

Calon PAS PRK Rompin, Ustaz Nazri Ahmad santuni masyarkat desa.

ROMPIN: Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan kerajaan negeri gagal membangun dan menaik taraf Tanjung Gemok di Kuala Rompin sebagai jeti utama pelancong ke Pulau Tioman.

Beliau berkata kerajaan negeri seolah-olah tidak berusaha untuk memulihkan jeti Tanjung Gemok supaya dapat menarik ramai pelancong ke Rompin.

"Pulau Tioman kita punya tetapi Mersing yang dapat manfaat bukannya Tanjung Gemok," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Tambahnya, 30 peratus sahaja kedai beroperasi manakala 70 peratus lagi terbiar kosong tidak terurus dengan keadaan longkang yang berbau.

Bahkan katanya, perkara ini turut dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara yang mendapati projek tersebut gagal disiapkan lebih tiga tahun.

Tambahnya, projek pembinaan Unit Marin di sini dengan kos RM4.95 juta tetapi mendukacitakan kerana projek ini gagal berfungsi dengan baik apabila tidak ada bot Marin untuk membuat rondaan di laut.

"Tidak ada kemudahan penempatan untuk kapal-kapal peronda. Sekarang ini pusat ini beroperansi sebagai pusat penguatkuasa Kastam tanpa unit Marin," ujarnya yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin.

Justeru katanya, kerajaan Pahang gagal menguruskan kawasan yang berada di sempadan negeri sehingga negeri lain yang mendapat manfaat serta menarik hasil negeri tanpa disedari.

Tanjung Gemok terletak di dalam Dun Tioman yang mempunyai  seramai 16,339 pengundi.

Di Pulau Tioman pula mempunyai enam Unit Peti Undi (UPU) manakala di daratan mempunyai sembilan UPU.

Sementara itu, tinjauan Harakahdaily mendapati banyak lot kedai yang tidak berpenghuni dan dibiarkan usang dengan semak samun dikelilingi kedai terbabit.

Jeti Tanjung Gemok kelihatan agak sunyi dan lengang dan kebanyakan syarikat feri hanya menyediakan perkhidmatan feri ke Pulau Tioman sekali sehari.

Keadaan ini jauh berbeza di Jeti Mersing yang 40 km jauh jaraknya dari Tanjung Gemok menjadi tarikan ramai pelancong tempatan dan luar negara untuk ke Pulau Tioman.

"Di sini tak ramai pelancong guna jeti ini ke Pulau Tioman mereka lebih suka ke Jeti Mersing. Kita hanya buat trip satu kali sehari ke pulau jam 11 pagi.

"Suasana sini tidak meriah, banyak kedai-kedai terbengkalai sunyi sepi," ujar salah seorang kakitangan syarikat Bistari Gemilang Shipping yang enggan dikenali.

FB PRK Rompin - HARAKAHDAILY 26/4/2015

Share on Myspace