PAS Permatang Pauh harap jangan timbul masalah lagi

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .

PERMATANG PAUH: Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu berkata, jentera parti itu akan bergabung tenaga dengan jentera PKR dan DAP dalam menjalankan gerak kerja seiring serta bersama.

"Malam ini kita lancarkan jentera PAS secara rasminya walaupun gerak kerja telah mula berjalan.

"Kita akan bergabung tenaga dengan DAP dan PKR supaya dapat mengekalkan kemenangan serta meningkatkan majoriti undi pada 7 Mei nanti," katanya yang juga Pengarah Pihan raya PAS bagi PRK itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Jentera PAS PRK Permatang Pauh di Dewan Haji Yusof Rawa, Sama Gagah, malam tadi.

Hadir sama ialah calon PKR merangkap presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Wanita DAP, Chong Eng.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang itu menambah, perbezaan pendapat yang berlaku telah berjaya diuruskan dengan mencari penyelesaian terbaik.

"Sudah selesai, perbezaan akan ada sehingga hari kiamat tetapi kita cari jalan penyelesaian.

"Kita bertemu dan bersemuka dalam usaha menyelesaikannya ke arah kebaikan dan penyatuan.

"Alhamdulillah, semuanya telah selesai dengan baik seperti yang diharapkan oleh semua pihak," jelasnya lagi.

Sebelum itu, beliau dalam ucapannya menegaskan bahawa PAS akan mempertahankan dasar yang diperjuangkan dan dalam masa yang sama mahu mencapai kemenangan.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Permatang Pauh, Omar Hassan menegaskan segala permasalahan dan perbezaan pendapat di antara parti itu dengan PKR telah selesai dari hati ke hati.

Beliau berkata, pihaknya mendapat arahan daripada Majlis Syura Ulamak dan dipersetujui Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang supaya membantu gerak kerja pilihan raya pada PRK kali ini.

Menurutnya, jentera pilihan raya PAS di peringkat negeri dan kawasan itu telah diarah untuk digerakkan untuk memberi sokongan ke arah kemenangan Pakatan Rakyat.

PAS kawasan, katanya berpuas hati dengan pertemuan yang telah dilakukan bersama pihak PKR berhubung isu yang berbangkit.

"Perbincangan ke arah kebaikan dan penyatuan. Semua permasalahan sudah 'settle', saya harap ia tidak ditimbulkan lagi," tegasnya. - HARAKAHDAILY 26/4/2015

Share on Myspace