Rompin: Bekas CEO Koperasi Felda bantu kempen PAS

HAZAYANI ZAKARIA | .

ROMPIN: Bekas CEO Koperasi Permodalan Felda (KPF) Holding, Datuk Sarchu Sawal menyeru peneroka menyelamatkan Felda daripada terus dimusnahkan oleh BN.

Beliau berkata, Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad telah merosakkan matlamat asal Felda untuk membantu golongan bumiputera.

Sebaliknya tegas beliau, Felda ketika ini mengalami kerugian teruk selepas Felda Global Ventures (FGV) disenaraikan dalam Bursa Malaysia.

"Kita harus selamatkan Felda. Saya ialah orang pertama bersama Datuk Zulkifli Wahab yang menentang penyenaraian FGV.

"Jadah apa FGV disenaraikan dalam Bursa Malaysia? Biasanya orang menyenaraikan syarikat sebab tak ada duit. Masa itu Felda ada RM4 billion. Mana pergi RM4 billion itu sekarang?

"Semasa saya ambil alih KPF sebahagian besar pendapatan daripada Felda Holding.

"Keuntungan syarikat disalurkan kepada peneroka sebagai penghormatan kepada peneroka yang memberi sumbangan kepada syarikat.

"Namun apa dah jadi sekarang? Datang penyangak dari Negeri Sembilan habis semuanya," kata beliau dalam Himpunan Perdana Selamatkan Felda 2.0 di Felda Keratong 4, dekat sini malam tadi.

Beliau turut berjanji akan membantu kempen PAS bagi memenangkan calonnya, Ustaz Nazri Ahmad yang juga anak peneroka Felda.

"Kita kena selamatkan Felda, selamatkan KPF. Undilah calon PAS. Insya-Allah dia akan dapat bawa suara peneroka.

"Walaupun Umno BN kata kalau PAS menang tak jadi kudis bagi mereka tetapi sekurang-kurangnya kita tunjuk rasa tidak senang kita kepada kerajaan melalui undi.

"Saya dah lama masuk PAS. Saya masuk PAS bukan nak bertanding tapi saya nak betulkan keadaan.

"Saya ada tanggungjawab untuk membantu peneroka-peneroka. Felda telah dikacau-bilaukan," kata beliau yang mengakui menjadi ahli PAS ketika masih berkhidmat dalam Felda lagi.

Himpunan malam tadi dilancarkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Turut bersama ialah bekas Naib Presiden FGV, Ghani Mahmood yang akan turut berkempen untuk PAS. - HARAKAHDAILY 26/4/2015

Share on Myspace