Dewan Ulamak, Muslimat bangkit isu GST di PRK

SALMAH MAT HUSAIN|FOTO RIZAL TAHIR | .

RANTAU PANJANG: Dewan Ulamak dan Dewan Muslimat PAS Pusat bekerja keras membantu PKR mengekalkan Parlimen Permatang Pauh dan misi merampas Rompin pada pilihan raya kecil (PRK) tidak lama lagi.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata Dewan UlamaK turut membantu kempen di kedua-dua PRK terbabit yang ditandingi PKR dan PAS.

Katanya petugas PAS sudah berada di kedua-dua PRK terbabit sehingga hari pengundian.

“Petugas dihantar dua gelombang di mana kumpulan pertama petugas sudah berada di lokasi. Selepas itu kumpulan kedua pula datang sehingga hari pembuangan undi.

“Perkara itu diputuskan pada mesyuarat PAS Pusat baru-baru ini yang mengarahkan semua petugas PAS turun ke bawah,” katanya ketika ditemui media selepas perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Kali Ke-44 Peringkat Negeri Kelantan 2015, di sini hari ini.

Ustaz Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, peluang kempen di PRK Permatang Pauh dan Rompin akan digunakan bagi memberi penerangan mengenai Kanun Jenayah Syariah (KJS) dan isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Katanya penerangan mengenai KJS dan GST perlu dibuat bagi membolehkan orang ramai lebih memahaminya.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof pula berkata PRK Permatang Pauh dan Rompin akan menjadi medan pengundi menolak GST yang cukup membebankan rakyat sekarang.

“Seorang pengundi di Rompin memberitahu seekor udang yang dibeli untuk memancing sebelum ini berharga RM1 seekor, namun sekarang meningkat kepada RM1.05 sen.

“Mereka bukan beli seekor undang untuk memancing, sebaliknya sekurang-kurang 20 ekor,” katanya ketika ditemui. - HARAKAHDAILY 26/4/2015

Share on Myspace