Himpunan Selamatkan Felda 2.0 desak singkir Isa Samad

HAZAYANI ZAKARIA | .

 

ROMPIN: Himpunan Perdana Selamatkan Felda 2.0 yang berakhir petang ini sebulat suara memutuskan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad mesti disingkirkan serta-merta.

Para peserta himpunan anjuran Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) itu juga mendesak kerajaan menyiasat segera semua penyelewengan dan salah guna kuasa sepanjang Isa menjadi pengerusi Felda.

Himpunan di Felda Keratong 4 itu juga sebulat suara menggesa Felda menghentikan penyenaraian Felda Global Ventures (FGV) dalam Bursa Malaysia dan mengembalikan 360,000 hektar tanah Felda Plantation yang dipajakkan kepada FGV kepada Felda.

Himpunan juga menggesa Felda membatalkan perjanjian tanam semula dan pengurusan kebun kepada perjanjian baru yang lebih adil kepada peneroka.

Selain itu, himpunan mencapai kata sepakat menggesa Felda memperbanyak program perumahan generasi kedua dengan harga mampu milik.

Resolusi yang ditandatangani Presidn Anak, Mazlan Aliman itu turut menggesa Felda mengembalikan fungsi dan kegemilangan Koperasi Permodalan Felda.

Mazlan berkata, resolusi tersebut akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat.

Himpunan diisi dengan pembentangan isu-isu Felda oleh bekas pegawai kanan Felda, Mat Said Jonid, Penasihat Anak, Dr Rosli Yaakop yang juga pakar ekonomi serta peguam R. Sivarasa yang mengendalikan kes saman peneroka ke atas Felda berhubung kadar perahan gred.

Peserta himpunan juga berpeluang melontarkan pertanyaan dan mengutarakan permasalahan mereka termasuk isu perjanjian berat sebelah oleh Felda yang mengakibatkan mereka menanggung hutang yang banyak. - HARAKAHDAILY 26/4/2015

Share on Myspace