Alhamdulillah, pengundi boleh terima calon PAS

SALMIYAH HARUN | .

ROMPIN: Hari ini masuk hari kelima berkempen bagi  calon-calon yang bertanding di PRK P.091 Rompin.

Bagi calon PAS, Ustaz Nazri Ahmad telah menjelajahi dan bertemu pengundi hampir 50 peratus kawasan dalam Parlimen Rompin.

"Untuk pusingan pertama ini calon kita sudah 50 peratus telah bertemu dengan pengundi. Calon kita akan pergi ke setiap Dun," kata Pengarah Pilihan Raya PAS PRK Rompin, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, sehingga hari ini penerimaan pengundi-pengundi terhadap Ustaz Nazri amat baik dan tidak ada halangan untuk beliau memasuki kawasan-kawasan kubu Umno BN ataupun orang asal.

"Alhamdulillah, pengundi boleh menerima malah mengalu-alukan kehadiran calon kita di kawasan mereka, walaupun kita tidak pernah masuk ke kawasan mereka sebelum ini," katanya kepada Harakahdaily.

Dalam pada itu, Ustaz Nazri yang ditemui kelihatan sentiasa mengukir senyuman apabila bertemu dengan sesiapa sahaja walaupun di wajahnya kelihatan agak kepenatan.

Beliau yang tinggal di Felda Keratong 2 sehingga hari ini belum berkesempatan untuk tidur di rumahnya.

Faktor kawasan Parlimen Rompin yang agak luas antara ketiga-tiga Dun Bukit Ibam, Tioman dan Muadzam Shah memaksa beliau tidur merata-rata termasuk di markaz atau di rumah dalam kalangan petugas PAS.

"Saya tak sempat tidur di rumah. Hanya balik sekejap untuk ambil baju. Bawa baju banyak-banyak dalam kereta. Sebab jarak jauh dan makan masa dan tenaga," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau menggunakan kereta jenis Nissan Cefiro sebagai kenderaan rasmi untuk berkempen.

Jadualnya cukup padat bermula seawal pagi dengan solat Subuh berjemaah sehinggalah ke lewat malam. - HARAKAHDAILY 26/4/2015

Share on Myspace