PRK Rompin: Rakyat mahu BN tunai janji lama

SALMIYAH HARUN | .

ROMPIN: Dalam suasana berkempen hari ini pengundi Rompin tidak mahu lagi mendengar janji-janji manis kerajaan yang ternyata banyak janji tinggal janji.

Janji ini termasuklah janji untuk menyediakan dua buah feri baru di Tanjung Gemok selepas isu jeti di kawasan itu dibangkitkan oleh PAS Pahang.

Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) PAS Rompin Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebenarnya kerajaan negeri Pahang berjanji untuk menggagalkan janji.

"Janji banyak kali dah, pengusaha pelancongan di Jeti Tanjung Gemok akui keadaan di situ sangat kritikal," katanya dalam sidang media di Markaz Induk PRK Rompin Bandar Satelit Muazam Shah hari ini.

Hakikatnya kata beliau, jeti Tanjung Gemok itu sendiri kurang mendapat promosi pelancongan berbanding di jeti Mersing Johor.

"Tanjung Gemok sebenarnya lokasi yang sangat menarik yang berpotensi lebih besar daripada Mersing.

"Di Mersing pelancong lebih ramai kemudahan yang cukup tetapi di Tanjung Gemok sebaliknya," kata beliau.

Bahkan katanya promosi gagal dilakukan oleh agensi pelancongan negeri termasuklah kemudahan yang 'low class' dan gagal membuatkan pelancong tertarik ke Tanjung Gemok.

"Tidak ada papan tanda untuk pelancong antarabangsa, jadual feri yang sentiasa berlaku kelewatan dan penyelenggaran yang lemah," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tioman, Datuk Mohd Johari Hussein mengakui Tanjung Gemok tidak sehebat Mersing di Johor untuk menarik pelancong ke Tioman sebagaimana didakwa oleh Tuan Ibrahim.

Bagaimanapun Mohd Johari menjelaskan, kerajaan negeri dalam proses untuk menaik  taraf Tanjung Gemok untuk menjadikan sebuah bandar baru termasuklah menyediakan dua buah feri baru Mei ini. – HARAKAHDAILY 27/4/2015

Share on Myspace