SPR patut bimbang MIC sasar 3,000 pengundi di Pmtg Pauh

HARAKAHDAILY | .

PERMATANG PAUH: Kenyataan MIC yang mensasarkan 3,000 undi India bukan sahaja membimbangkan pengundi sah di Permatang Pauh tetapi juga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Demikian kata Timbalan Pengerusi Wanita DAP Pulau Pinang, Kasthuri Patto sebagai respons kepada kenyataan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramanian dua hari lalu bahawa parti itu akan mensasarkan 3,000 undi India pada Pilihan raya Kecil (PRK) Permatang Pauh pada 7 Mei ini.

Menurutnya, dalam PRU13 lalu, jumlah pengundi India yang telah membuang undi adalah 6 peratus iaitu bersamaan dengan hampir 3,900 daripada jumlah keseluruhan pengundi di Permatang Pauh yang telah keluar membuang undi iaitu 63,332 orang.

Kini, ujarnya mengikut data bilangan pengundi tahun lepas, didapati jumlah pengundi Permatang Pauh telah meningkat kepada 72,513 dengan pengundi India sebanyak 4,584 atau 6.32 peratus.

"Walaupun tepukan boleh diberikan kepada MIC di atas 'mood' positif mereka untuk meraih 3,000 undi pengundi India di Permatang Pauh, namun hakikatnya adalah kepercayaan rakyat Malaysia terutama sekali bagi pengundi etnik India telah diambil mudah oleh parti komponen Barisan Nasional ini, dulu, kini dan selamanya," katanya pada sidang media Pakatan Rakyat PRK Permatang Pauh di Penanti, hari ini. (Foto atas oleh Yus SK)

Hari ini, ujar beliau MIC masih lagi berfikir yang mereka masih relevan dalam prasarana politik dewasa ini.  

"MIC dengan 4 ahli parlimen, jelas sokongan rakyat Malaysia terhadap parti tempang ini terhakis," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.

Agaknya, kata beliau sekiranya mereka itu tidak dapat menyumbangkan sokongan 3,000 undi dari Permatang Pauh, adakah parti yang sepatutnya melindungi dan mempertahankan hak etnik India di Malaysia akan menyeludup pengundi masuk ke Permatang Pauh supaya sasaran 3,000 itu dapat dicapai.

"Kenyataan yang cukup membimbangkan bukan sahaja bagi pengundi sah Permatang Pauh tetapi sepatutnya membimbangkan Suruhanjaya Pilihan Raya juga," ujarnya. - HARAKAHDAILY 27/4/2015

Share on Myspace