Isa jangan alih isu, selesai masalah peneroka

HAZAYANI ZAKARIA | .

ROMPIN: PAS terus mendesak Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad menjawab isu berkaitan permasalahan peneroka, bukan cuba mengalihkan isu.

Ahli jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman berkata, isu saham Felda Global Ventures (FGV) yang merudum, prestasi Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang semakin merosot dan kebun peneroka yang tidak diselenggara dengan baik perlu diberi keutamaan oleh Isa.

"Sepatutnya Isa jawab isu yang ditimbulkan oleh peneroka, bukan membuat tuduhan tanpa bukti kepada orang lain," kata beliau pada sidang media di Markas Induk PAS Pilihan Raya Kecil Rompin, di Bandar Satelit Muadzam Shah hari ini.

Mazlan yang juga Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) berkata demikian sebagai menjawab tuduhan Isa bahawa projek ladang rakyat di Kelantan gagal memberi manfaat kepada penduduk miskin negeri itu.

Isa turut mempersoal kebolehan PAS menyelamatkan Felda.

"Apa justifikasi Isa Samad mengatakan ladang rakyat gagal? Menteri Besar Kelantan beberapa kali menyatakan kejayaan ladang rakyat.

"Ini satu tuduhan dan saya cabar Isa buktikan tuduhan itu," katanya.

Justeru kata Mazlan, beliau akan meminta Penyelia Parlimen Gua Musang, Azman Ahmad membuat laporan polis berhubung fitnah yang dibuat Isa.

"Saya akan berbincang dengan Ustaz Azman yang arif mengenai ladang rakyat mengenai tuduhan ini.

"Isa jangan alih isu kerana bekas CEO KPF sendiri membuat pendedahan mengenai KPF yang gagal berfungsi dengan baik sekarang," katanya.

Sabtu lalu sehingga semalam, Anak menganjurkan Himpunan Perdana Selamatkan Felda di Felda Keratong 4 yang didakwa Isa sebagai membuang masa.

Himpunan tersebut mengeluarkan resolusi agar Isa disingkirkan serta-merta dari Felda kerana gagal menguruskan tanah rancangan itu dengan baik. – HARAKAHDAILY 27/4/2015

Share on Myspace