Lombong bijih di Bukit Ibam jejas penduduk

SALMIYAH HARUN | .

ROMPIN: Lombong bijih besi di Bukit Ibam yang beroperasi sehingga kini telah mengganggu penduduk di kawasan berhampiran.

Menurut Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) PAS Rompin Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, banyak aduan yang diterima oleh penduduk mengenai masalah bunyi bising dan habuk di sekitar Bukit Ibam terutama di Sekolah Menengah Agama Bukit Ibam (SMA).

Katanya, jarak antara sempadan kawasan lombong dengan sempadan kawasan sekolah kurang dari 50 meter.

"Pengusaha lombong telah memasang kain pengadang bewarna hitam untuk menghalang debu daripada lombong tersebut tetapi tidak berfungsi kerana lombong tersebut terletak di tempat lebih tinggi daripada SMA," katanya.

Bercakap dalam sidang media di Markaz Induk PRK Rompin Bandar Satelit Muazam Shah hari ini katanya kesan daripada perlombongan itu turut menjejaskan air sungai.

Tambahnya sisa-sisa perlombongan dilepaskan ke dalam sungai yang berdekatan menyebabkan aktiviti nelayan di Kampung Aur terjejas teruk.

"Sungai Air Tawar juga bertukar warna dan menjadi cetek akibat kurangnya pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan perlombongan mengikut arahan dan syarat alam sekitar," katanya.

Sementara itu, Penyelaras DUN Muazam Andansura Rabu mempersoalkan ke mana hasil royalti perlombongan yang meningkat saban tahun dilaburkan.

Ini kerana katanya, Bandar Bukit Ibam dan penduduk seolah-olah tidak dapat mengecapi pembangunan industri selain debu dan bunyi bising sahaja.

Walaupun perlombongan telah beroperasi berbelas tahun kebanyakan tapak lombong tidak mempunyai alat timbang bijih besi sebelum dibawa keluar dari kawasan lombong.

"PTG juga tiada kepakaran dan peralatan yang khusus untuk tentukan kuantiti stok bijih besi. PTG juga tidak dapat sahkan kuantiti pengeluaran daripada syarikat lombong.

"Sekiranya tiada pengesahan dibimbangi pengusaha lombong akan manipulasi pengeluaran akhirnya menjejaskan royalti kepada kerajaan," katanya yang juga Adun Beserah.

Antara nama-nama syarikat lombong yang beroperasi di Bukit Ibam iaitu, HT Mines Sdn Bhd (lot 37527), Natural Mining Sdn Bhd (12132), Merdukasa Sdn Bhd dan Ghazali Kasim (27508), Esperance Mining Sdn Bhd (27124), Mentiga Mining Sdn Bhd, serta Edubest Resources Sdn Bhd. – HARAKAHDAILY 27/4/2015

Share on Myspace