PAS Selangor hantar petugas bantu PKR di Permatang Pauh

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS Selangor akan menghantar petugas-petugas ke Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh bagi membantu PKR, kata pesuruhjayanya, Datuk Iskandar A Samad.

Begitupun, katanya PAS Pusat telah memutuskan negeri-negeri di utara membantu gerak kerja PRK Permatang Pauh sementara negeri-negeri di selatan membantu PRK Rompin.

"Oleh yang demikian, PAS Selangor telah membantu gerak kerja di PRK Rompin sejak sebelum penamaan calon lagi," ujarnya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, katanya di atas semangat setiakawan, PAS Selangor telah berbincang dengan Setiausaha Agung PAS memohon agar dibenarkan menghantar petugas-petugas ke PRK Permatang Pauh.

Menurutnya, Setiausaha Agung telah bersetuju dengan permohonan itu maka PAS Selangor akan turut membantu PKR di Permatang Pauh.

Beliau menambah, bilangan petugas akan ditentukan oleh Pengarah Pilihanraya PAS negeri, Haslin Hasan.

"Walau bagaimanapun fokus PAS Selangor adalah masih kepada PRK Rompin. Semoga kemenangan akan berpihak kepada calon-calon Pakatan Rakyat," ujarnya. - HARAKAHDAILY 27/4/2015

Share on Myspace