Suri rumah: Mei Fun jangan pandang rendah pada wanita

HARAKAHDAILY | .

PERMATANG PAUH: Ketua Wanita DAP, Chong Eng menggesa Datin Paduka Chew Mei Fun supaya jangan memandang remeh kepada golongan wanita.

Katanya, kalau Mei Fun yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak faham peranan wanita bagaimana hendak memperjuangkan hak wanita di negara ini.

Beliau turut mendesak Naib Presiden MCA itu memohon maaf kerana menggelarkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai suri rumah.

Menurutnya, Wan Azizah bukan sahaja sebagai suri rumah tetapi pakar mata dan berjaya   memimpin PKR lebih 17 tahun.

“Beliau juga ketua pembangkang wanita pertama di negara ini,” katanya pada sidang media di Penanti, hari ini. (Foto atas oleh Yus SK)

Beliau merujuk kepada kenyataan Mei Fun yang disiarkan satu portal berita yang dilaporkan berkata Wan Azizah menggunakan 'telatah suri rumah'.

Timbalan Ketua Wanita PKR, Rodziah Ismail yang turut menggesa Mei Fun meminta maaf berkata, kenyataan sedemikian tidak sewajarnya dikeluarkan.

Tambahnya, apatah lagi selepas Mei Fun kalah kepada Wan Azizah pada PRK Kajang yang diadakan 23 Mac 2014 lalu.

Wan Azizah yang memperoleh 16,741 undi menewaskan Mei Fun dengan majoriti 5,379 undi.

"Beliau (Mei Fun) seorang wanita ke apa," tanya Rodziah. - HARAKAHDAILY 27/4/2015

Share on Myspace