Pengundi Dun Galas digoda 6 projek mega BN

| .

GUA MUSANG: Setelah hampir dua tahun lalu siap, Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang mempunyai 1,000 unit belum lagi diduduki. Projek itu ‘umpan’ pilihan raya kecil (PRK) Galas pada November 2010.

PPR setinggi lima tingkat dibina 10 blok terletak di belakang Pejabat Bomba dan Penyelamat di Bandar Baru Gua Musang.

Ketika kempen PRK dijanjikan dibina 1,500 unit rumah PPR melibatkan kos RM180 juta, namun sekarang hanya 1,000 unit siap dibina.

Projek itu dilancar pada 24 Oktober 2010 ketika kempen PRK sedang berlangsung.

Selain itu turut dijanjikan Berjaya Theme Park bernilai RM1.5 bilion, Golf Club & Country Resort (RM856 juta), Permata Timur (RM146 juta), Agro Tourism (RM256 juta) dan kampus Universiti Malaysia Kelantan cawangan Gua Musang (RM316 juta).

Janji-janji itu ternyata berjaya menggoda pengundi di Dun Galas sehingga memberi kemenangan semula kepada BN melalui Abdul Aziz Yusof.

Seorang penduduk, Amran Abdullah berkata, malangnya hanya projek PPR yang menjadi kenyataan, sedangkan lima lagi janji sekadar syok di bibir sahaja.

Katanya, PPR sudah siap hampir dua tahun, malangnya belum lagi dapat diduduki biar pun sudah berkali-kali mesyuarat penyelarasan diadakan.

“Sepatutnya rumah terbabit boleh dimanfaatkan sementara kepada mangsa-mangsa banjir yang masih lagi mendiami khemah di tapak projek Bandar Utama dan kem PLKN.

“Ada penduduk memberitahu ada cermin dan pendawaian elektrik di PPR tersebut pecah dan dicabut pihak tidak bertanggungjawab,” katanya di sini.

Kelmarin Ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dilaporkan memberitahu kalangan setinggan yang menjadi mangsa banjir layak menduduki rumah tersebut.

Pada 19 Januari lepas Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan memberitahu sebanyak 500 daripada 1,000 rumah PPR di Gua Musang akan ditawarkan kepada mangsa banjir.

Timbalan Yang Dipertua PAS Gua Musang, Abdullah Husain menjelaskan pada Disember lepas sudah dipersetujui 713 pemohon layak mendapat rumah di PPR.

Katanya, keputusan berkenaan dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Perumahan Negara di Kuala Lumpur yang turut disertai wakil UPEN, Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, ECER serta Kesedar.

“Bagaimanapun Umno Gua Musang mahu melakukan pemutihan lagi. Kini lebih empat bulan berlalu masalah itu belum selesai lagi dengan alasan menunggu kelulusan pinjaman bank oleh pemohon,” katanya. - HARAKAHDAILY 28/4/2015

Share on Myspace