PAS sumbang US$50 ribu ringankan derita rakyat Syria

| .

 

KUALA LUMPUR: PAS menghulurkan bantuan berjumlah US$50 ribu bagi pihak PAS dan rakyat Malaysia kepada ribuan pelarian Syria yang terus berkhemah di sana.

Pengerusi Hal Ehwal Antarabangsa PAS, Dr. Syed Azman Ahmad Nawawi berkata, sumbangan tersebut disampaikan sewaktu kunjungan ke bandar Antakya yang terletak di sempadan Turki-Syria.

Katanya, ini adalah misi ketiga beliau selepas berlakunya konflik politik berdarah yang melanda negara mereka.

“Alhamdulillah saya telah menyampaikan sumbangan sebanyak US$50 ribu melalui Presiden pertubuhan Syam Al Syarif, Dr. Ahmet El Amet, sebuah badan NGO Syria yang mengendalikan bantuan terus kepada rakyat Syria yang menderita” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, sebahagian besar dari bandar-bandar di seluruh Syria termasuk rumah-rumah kediaman, pejabat-pejabat serta bangunan kedai kini musnah akibat dari bedilan dan bom berterusan tentera rejim yang menggunakan kereta kebal, jet-jet pejuang dan helikopter.

Katanya, dianggarkan lebih dari 7 juta penduduk Syria kini terpaksa menjadi pelarian apabila mereka terpaksa berhadapan dengan konflik yang amst menysnyatkan ini.

Tambah beliau, rakyat Syria yang masih berada di dalam negara mereka juga menghadapi masalah bekalan elektrik dan air bersih yang terputus serta kekurangan bekalan makanan harian serta bahan perubatan yang amat terhad.

Beliau menjelaskan sebahagian besar dari mereka telah menyeberangi sempadan Turki dan kini tinggal di perkhemahan pelarian yang dikendalikan oleh pelbagai NGO yang membantu rakyat Syria.

Sementara itu, dianggarkan kini lebih dari 250 ribu rakyat Syria termasuk kanak-kanak dan wanita telah menjadi mangsa korban akibat dari konflik yang terus meruncing ini.

Beliau berkata, bantuan yang dihulurkan adalah amat kecil berbanding dengan konflik berdarah yang sedang berlaku ini, namun ia tetap memberi makna dan erti yang amat besar kepada penduduk Syria yang sedang menderita itu.

“Walaupun seluruh kepimpinan PAS kini amat sibuk dengan persediaan Muktamar serta amat sibuk berdebat dengan pelbagai isu, namun penderitaan dan bebanan yang sedang dihadapi oleh ribuan pelarian Syria ini tetap tidak dilupakan,” katanya lagi.

Beliau menegaskan, usaha membantu rakyat Syria tetap diteruskan dengan apa cara sekalipun.

"Bantuan ini adalah tanggungjawab dan amanah yang wajib dipikul oleh semua tanpa mengira waktu", ujar Syed Azman.

“Semoga sedikit bantuan yang disalurkan ini akan dapat mengubat penderitaan rakyat Syria yang terus bermandi darah ini serta memastikan kita rakyat Malaysia tidak akan lupa kepada anak-anak kecil serta ibu-ibu yang kehilangan ayah dan suami mereka,” ujar beliau.

Sumbangan kepada rakyat Syria khususnya untuk bulan Ramadhan akan datang boleh terus disalurkan kepada Maybank atas nama Parti Islam Se-Malaysia, 564070703248. - HARAKAHDAILY 28/4/2015

Share on Myspace