PRK Rompin, majikan wajib beri cuti

MUHAMMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: PAS hari ini meminta agar majikan memberi pelepasan atau cuti kepada pekerja mereka yang terlibat dalam pengundian di Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata PRK Rompin akan berlangsung pada hari bekerja dan menjadi tanggungjawab majikan memastikan pekerjanya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

"Bagi menunaikan tanggungjawab kepada negara dalam amalan kerajaan demokrasi, kerajaan mestilah memastikan semua majikan memberi perlepasan atau cuti kepada pekerjanya yang terpaksa pulang mengundi.

"Malah selayaknya majikan memudahkan urusan serta menggalakkan pekerjanya keluar mengundi bagi melunaskan tanggungjawab tersebut," kata beliau.

Tambah beliau, kerajaan selama ini telah berkempen supaya rakyat keluar mengundi justeru perkara itu suatu tanggungjawab terhadap negara.

"Maka saya ingin tegaskan supaya kerajaan bukan sahaja mengeluarkan pekeliling kepada majikan, tetapi juga mesti memastikan semua majikan memberi perlepasan atau cuti terutama kepada pengundi yang berada pada jarak yang jauh dengan tempat pembuangan undi.

"Kerajaan mesti mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang gagal berbuat demikian," katanya lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh itu menegaskan kerana masih terdapat aduan rakyat atau pengundi di Parlimen Rompin yang berada di luar kawasan bahawa mereka tidak mendapat cuti untuk pulang mengundi.

"Ini suatu yang sangat dikesali dan ia bercanggah dengan hak seorang pengundi yang mahu menunaikan amanah dan tanggungjawab mereka," sambungnya lagi. – HARAKAHDAILY 28/4/2015

Share on Myspace