Pengundi Chempaka tolak BN sebelum GST

| .

KOTA BHARU: Pengundi di Rompin dan Permatang Pauh perlu menterjemahkan kesusahan hidup mereka angkara pelaksanaan GST di kertas undi dengan menolak calon BN.

Adun Chempaka, Ustaz Ahmad Fathan Mahmood berkata kempen ‘Satu undi tolak BN bererti satu undi tolak GST’ perlu benar-benar direalisasikan sebelum bebanan kehidupan mereka semakin berganda.

“Saya nasihatkan pengundi Rompin dan Permatang Pauh menolak parti yang benar-benar membebankan kehidupan mereka.

“Sekarang bukan masa bercakap mengenai pembangunan kerana himpitan hidup akibat kenaikan harga barang selepas 1 April lalu benar-benar dirasai rakyat,” katanya di sini.

Ustaz Fathan menang besar pada pilihan raya kecil (PRK) Chempaka pada 22 Mac lepas selepas mengatasi empat calon Bebas, tanpa penyertaan BN.

Menurutnya, majoriti pengundi di Dun Chempaka awal-awal lagi menolak GST sebelum dikuatkuasa lagi kerana sudah menjangka bebanannya.

Kata beliau, pengundi Rompin dan Permatang Pauh perlu bijak menilai masa hadapan mereka kerana GST benar-benar membebankan rakyat yang berpendapatan rendah.

“Dakwaan menteri kononnya harga barangan tidak naik selepas GST dilaksanakan tidak lebih sebagai omong kosong sahaja. Sekarang belilah apa sahaja pasti ada GST,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 28/4/2015

Share on Myspace