GST: Ahli Umno tak faham kerana baca akhbar, tengok tv

HARAKAHDAILY | .

PERMATANG PAUH: Ahli-ahli dan penyokong Umno tidak akan memahami pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) membebankan rakyat jika hanya membaca akhbar seperti Utusan Malaysia dan menonton televisyen.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, beliau pernah ditanya oleh ahli Umno mengapa pentadbiran negara di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenakan GST kepada rakyat.

Kata beliau, soalan itu diajukan kepadanya kerana beliau adalah ahli parlimen yang boleh mendapat jawaban daripada Kerajaan Persekutuan.

"Saya jelaskan kerana hutang negara meningkat, PM tak urus negara dengan baik, beli jet, banyak ketirisan, jadi terpaksa kutip GST daripada rakyat untuk bayar hutang," ujarnya pada sidang media Pilihan raya Kecil (PRK) P.044 Permatang Pauh di Penanti, hari ini.

Tambahnya, selama ini mereka tidak memahami kenapa kerajaan melaksanakan GST kerana tidak mendapat maklumat yang sebenar.

"Sebab selama ini mereka tengok TV3, baca Utusan. Baru sekarang mereka faham," ujarnya yang juga Pengarah Strategi PKR.

Menurutnya lagi, maklum balas yang diterima daripada para pengundi di Permatang Pauh mendapati mereka memberi perhatian serius terhadap pelaksanaan GST yang menyebabkan harga barangan meningkat.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail pada satu majlis kelmari memberitahu bahawa hasil kajian lapangan yang dilakukan Merdeka Center mendapati 70 peratus pengundi di Permatang Pauh menyatakan isu ekonomi khususnya GST adalah penting untuk menentukan parti pilihan mereka. - HARAKAHDAILY 28/4/2015

Share on Myspace