305 pemuda Felda sertai PAS dalam masa singkat

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

ROMPIN: Perjuangan PAS makin diterima generasi muda Felda dengan penyertaan golongan tersebut seramai 305 orang dalam tempoh beberapa hari selepas ‘Perhimpunan Selamatkan Felda 2.0’ yang berlangsung di Keratong.
 
100 belia dari Keratong 10 bertindak menyertai PAS dan borang keahlian diserahkan kepada  Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pahang, Andansura Rabu.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah itu berkata ini menggambarkan bahawa penerimaan terhadap PAS semakin positif dan amat menggalakkan sekaligus menjanjikan keputusan yang lebih baik dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) P.091 Rompin yang sedang berlangsung.
 
“Mereka ini generasi kedua Felda yang telah faham isu berhubung Felda Global Ventures Sdn Bhd. (FGV), perumahan generasi kedua dan pelbagai isu yang dibangkitkan.

“Ini fenomena baru, juga petunjuk positif bahawa generasi muda yang merupakan pengundi majoriti dalam tanah rancangan, kini semakin berani menunjukkan sokongan mereka secara terbuka terhadap PAS.
 
“Kami percaya ramai lagi yang akan menyertai PAS dalam masa dua tiga hari ini berdasarkan sambutan yang menggalakan,” katanya dalam majlis ringkas penyerahan borang keahlian PAS di Keratong 10 di sini.
 
Unit peti undi Felda berkenaan dijaga oleh PAS Kawasan Jerantut.
 
Parlimen Rompin mempunyai 14 penempatan Felda iaitu Keratong dan Selancar yang dihuni 51.51 peratus daripada 53,294 jumlah pengundi kawasan tersebut.
 
Selama ini komuniti Felda dianggap ‘simpanan tetap’ kepada calon BN dalam banyak pilihan raya.

Selain daripada warga Felda, komposisi pengundi Rompin terdiri daripada nelayan, Orang Asli, penduduk luar bandar dan penjawat awam di Dun Tioman, Muadzam dan Ibam.

PRK Parlimen Rompin pada 5 Mei ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Ustaz Nazri Ahmad dengan calon BN Datuk Hasan Arifin. - HARAKAHDAILY 29/4/2015

Share on Myspace