Politik punca Kelantan dinafi royalti minyak

SALMAH MAT HUSAIN|FOTO RIZAL TAHIR | .

KOTA BHARU: Selain petroleum bumi Kelantan juga kaya dengan bijih besi, emas, simen, marmar, gas asli yang bermutu tinggi dan feldspar.

Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob bagaimanapun berkata hasil minyak tidak dapat dinikmati kerajaan negeri kerana halangan politik.

Katanya, industri itu sepatutnya dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Kelantan.

“Biarpun tidak mendapat royalti daripada sumber petroleum namun Kelantan mendapat hasil royalti daripada perlombongan emas.

“Kerajaan negeri mengeluarkan hasil berkenaan dengan cara yang berhemah demi untuk kepentingan rakyat,” katanya ketika merasmikan pejabat Pulai Mining di Lembah Sireh di sini, semalam.

Hadir sama anggota Exco kerajaan negeri, Dr Ramli Mamat, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Dr Wan Zawawi Wan Ismail dan Ketua Eksekutif Pulai Mining, Datuk Wan Mustapha Wan Abdul Hamid.

Pulai Mining mengusahakan perlombongan emas di Gua Musang. Manakala sebuah syarikat dari China, CNMC pula melombong emas di Sokor, Tanah Merah.

Menteri Besar juga berharap kerajaan pusat memberi laluan mudah bagi membolehkan projek menghasilkan gelatin halal dengan sebuah syarikat dari Linxia China dapat dilaksanakan.

“Harapan Kelantan untuk menghasilkan gelatin halal bagi membuat kapsul dan produk lain bagi pasaran tempatan,” katanya.

Sementara itu Wan Mustapha berkata Pulai Mining menghasilkan emas berjumlah 313.19 kilogram atau 11.073 aun dalam tempoh dua tahun.

Katanya, jumlah tersebut memberi pulangan dalam bentuk royalti kepada kerajaan negeri sebanyak RM2.2 juta.

Manakala PKINK pula mendapat pulangan tribute sebanyak RM4.41 juta. - HARAKAHDAILY 29/4/2015

Share on Myspace