Pembubaran Dara bukti BN lemah

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

ROMPIN: Kerajaan Negeri Pahang ternyata melakukan kesilapan besar apabila tidak membantah pembubaran dua agensi pembangunan Persekutuan iaitu Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ) dan Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (Dara) pada tahun 2000.
 
Adun Beserah Andansura Rabu berkata, hal ini kerana pembubaran kedua-duanya agensi tersebut mengakibatkan kawasan yang berada di bawahnya menjadi terabai.
 
Menurutnya, Dara dibubarkan pada 1 November 2000 mengikut Akta Dara (Pembubaran) 1997 (Akta 569) dan diswastakan kepada Teras Dara Konsortium Sdn. Bhd. (TDK) melalui perjanjian yang ditandatangani pada 15 Jun 1999.
 
“Kerajaan juga telah bersetuju supaya kerja-kerja khidmat bandaran yang dijalankan oleh TDK di kawasan bekas Dara dilanjutkan bagi tempoh lima tahun kedua mulai 1 Mac 2005 hingga 28 Februari 2010.
 
“Sehubungan dengan itu, Perjanjian Lanjutan Kerja Khidmat Bandaran antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Pahang dan TDK telah ditandatangani pada 13 Februari 2006.
 
“Bagi tempoh 5 tahun pertama sahaja TDK diberi geran RM10 juta bagi khidmat bandaran. Kemudian bagi tempoh 5 tahun kedua, jumlah geran adalah sebanyak RM12 juta dan untuk tempoh 5 tahun ketiga, gerannya meningkat kepada RM14 juta,” Katanya dalam sidang media di markas induk PAS PRK 091 Rompin.
 
Turut hadir Setiausaha Perhubungan Roslan Zainal.
 
Andansura berkata, persoalan yang timbul kini ialah TDK tidak memainkan peranan yang sepatutnya untuk membangunkan Wilayah Pahang Tenggara.
 
Tambahnya, sejak pengambilalihan bekas kawasan Dara, TDK telah menjual beberapa aset seperti Ladang Lam Soon, Ladang Teh Dara, Kilang Sawit Sawira dan lain-lain lagi.
 
“Di samping itu semasa proses pindah milik harta Dara kepada TDK terdapat 212 lot perumahan di kawasan utama Muadzam Shah yang bernilai RM2.9 juta diberikan kepada TDK dengan bayaran RM700 ribu sahaja.
 
“Sekarang mereka menjual lot-lot ini dan juga hartanah lain dengan harga berlipat ganda,” jelasnya.
 
Katanya lagi, nyata sekali tujuan utama TDK mengambil alih bekas Dara ialah untuk mengaut keuntungan. Hasil utamanya adalah daripada geran Kerajaan Persekutuan.
 
Sedangkan objektif untuk membangunkan bekas kawasan Dara secara lebih efisyen terbukti telah gagal termasuk kepentingan peniaga-peniaga Melayu juga telah terhakis dengan kemunculan gedung-gedung besar asing.
 
“Justeru PAS Pahang menyeru pengundi Rompin perlu menghantar isyarat kepada Kerajaan Pusat dan Negeri bahawa rakyat Rompin sudah tidak boleh diperbodohkan lagi dengan janji-janji palsu dan tidak ditepati sejak sekian lama,”ujarnya.
 
Beliau menggesa agar kuasa undi penduduk diguna untuk menyelamatkan aset rakyat daripada terus tergadai akibat salah urus tadbir di bawah kerajaan BN. – HARAKAHDAILY 29/4/2015

Share on Myspace