1MDB: Mahathir dialu-alukan ke Permatang Pauh

HARAKAHDAILY | .

PERMATANG PAUH: PAS mengalu-alukan Tun Mahathir Mohamad ke Permatang Pauh bagi menjelaskan isu 1MDB dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada para pengundi.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar bersetuju jika bekas Perdana Menteri itu turun ke Permatang Pauh selepas menyampaikan ucapan di Universiti Sains Malaysia (USM), esok.

Mahathir dijadualkan hadir pada program Cakna Ilmu MPP USM: Tun Dr Mahathir 'Mendepani Pemikiran Tun M' yang diadakan di Dewan Tunku Syed Putra, USM bermula jam 9.00 pagi.

"Saya setuju jika Tun Mahathir turun ke Permatang Pauh esok, bukan di USM sahaja kerana rakyat dahagakan maklumat mengenai 1MDB dan GST yang perlu dimansuhkan," ujar Mahfuz kepada Harakahdaily selepa menyampaikan ceramah di Kampung Kubang Semang, malam tadi. Selepas itu beliau bergegas ke Sungai Petani untuk menyampaikan ceramah berhubung Himpunan 1 Mei 2015: Bantah GST yang akan diadakan di ibu negara.

Tambahnya, adalah wajar Mahathir yang menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan isu 1MDB menjelaskan perkara itu khususnya kepada para pengundi di Parlimen Permatang Pauh.

"Kalaupun beliau setuju hadir tidak berkempen cukup beliau meminta para pengundi PRK Permatang Pauh menolak BN," ujarnya berseloroh. - HARAKAHDAILY 29/4/2015

Share on Myspace