Saham FGV merudum: Peneroka dan KPF rugi besar

DR. ROSLI YAAKOP | .

HARGA saham FGV yang merudum menimpakan kerugian besar kepada peneroka Felda. Tetapi, ini tidaklah sebesar kerugian yang menimpa Keporasi Permodalan Felda (KPF) apabila ia menjual 51% sahamnya dalam Felda Holdings Berhad (FHB) kepada FGV pada bulan Disember 2013 lalu. Oleh sebab peneroka pemilik majoriti KPF, maka sebenarnya, yang rugi adalah peneroka.

Semasa artikel ini mula ditulis, harga saham FGV RM2.09 se saham. Harga ini RM2.36 atau 53% di bawah harga tawaran awam awal (IPO), iaitu, RM4.45 se saham (FGV disenaraikan di Bursa Malaysia pada 28 Jun 2012 lalu).

Peneroka yang telah membeli 800 unit saham membayar RM3,560 dan jika ia masih memegang saham itu, maka nilai pasaran saham berkenaan hanya tinggal RM1,672 sekarang, bermakna, pemegangnya  sudah rugi RM1,888.

Itu kerugian seorang peneroka. Ada 112,635 orang peneroka Felda di seluruh negara. Sekiranya setiap peneroka membeli 800 unit saham, maka jumlah saham FGV yang mereka pegang ialah 90,108,00 unit. Bermakna, kerugian yang mereka tanggung ialah RM212,654,880.

Ini kerugian yang amat besar memandangkan masih ramai peneroka berpendapatan rendah. Kalau harga sebuah rumah RM150,000, jumlah ini mampu membiayai 1,418 buah rumah untuk generasi kedua.

Bilakah harga saham FGV akan naik semula? Tiada siapa yang boleh meramalkan. Dalam masa terdekat ini kebarangkalian untuk harga pulih dengan ketara amat kecil. Ini memandangkan prestasi kewangan FGV sudah merosot. Dilaporkan dalam suku terakhir tahun 2014, keuntungan FGV mengecut sebanyak 96%.  

Kejatuhan ketara harga minyak sawit di pasaran dunia, peningkatan ketara kos pengurusan, hasil tuaian yang tidak meningkat kerana lebih 50% dari pokok sawit yang ada sudah tua dan kedudukan mudah tunai syarikat yang ketat adalah penyebab-penyebab utama yang menekan harga saham FGV.

Kekurangan minat pelabur asing untuk melanggan saham FGV juga menekan harga. Setakat 27 Februari 2015, tidak sampai pun 10% daripada jumlah saham FGV yang diapung di Bursa Malaysia (3,648,151,500 unit kesemuanya) dipegang pelabur asing. Bermakna, matlamat untuk melonjakkan kehadiran pelabur asing di Bursa Malaysia melalui pengapungan saham FGV telah gagal direalisasikan.

Dalam keadaan ketidakcukupan bilangan pelabur bermain di pasaran, apatah lagi bilangan saham yang diapungkan terlalu besar, adalah dijangkakan harga saham FGV akan terus tertekan. Harus diingat, Bursa Malaysia saiznya relatif kecil dan bilangan pelabur yang bermain di pasaran terhad, tidak seperti pasaran saham London, New York dan Tokyo dan lain-lain.

Kurangnya minat pelabur-plabur dalam dan luar negara di dalam saham FGV ini telah menyebabkan sebahagian besar saham FGV yang diapungkan di Bursa Malaysia dipegang oleh pelabur-pelabur institusi khasnya badan berkanun yang kaya tunai.

Diperhatikan, dana awam seperti Tabung Haji, Kumpulan Wang Persaraan, Koperasi Permodalan Nasional, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kerajaan Negeri Pahang, kerajaan Negeri Sabah dan National Association (Qatar) sebagai satu kumpulan memegang sekitar 37% daripada saham FGV. Sejak kebelakangan ini diperhatikan Felda Badan Berkanun dan Felda Asset Holdings Berhad telah memasuki pasaran dengan membolot hampir 44% daripada jumlah saham FGV di pasaran.

Hakikatnya,  sekitar 80% daripada jumlah saham FGV di dalam pasaran dibolot oleh pelabur-pelabur institusi.   Ini menimbulkan tanggapan bahawa sekiranya pelabur-pelabur institusi ini tidak memasuki pasaran, kebarangkaliannya amatlah tinggi bahawa harga saham FGV pastinya lebih rendah dari harga yang kita saksikan hari ini.

Juga, wujud tanggapan bahawa badan-badan kaya tunai ini berkemungkinan telah dikerah oleh pihak tertentu untuk masuk ke pasaran untuk menyokong harga. Dalam keadaan harga yang merudum, sudah pasti ada badan-badan berkenaan yang mengalami kerugian besar.

Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, peneroka rugi lagi apabila koperasi milik mereka, KPF, dikurangbayar (shortchanged) apabila KPF melepaskan 51% milikan sahamnya di dalam FHB kepada FGV pada Disember 2013. Felda Badan Berkanun khabarnya mendapat harga RM55.66 sesaham apabila melepaskan 49% sahamnya di dalam FHB kepada FGV sedangkan KPF hanya dibayar RM19.61 sesaham, RM36.05 atau 64.8% lebih rendah.

FGV menjadi "layak" untuk disenaraikan di Bursa Malaysia apabila harta milik Felda Badan Berkanun di dalam FHB disuntikkan ke dalam FGV. Hal ini kerana FHB sudah memiliki rekod perniagaan dan rekod untung yang panjang.

FHB, organisasi perniagaan utama bagi Felda Badan Berkanun, mempunyai modal berbayar sebanyak RM220 juta diwakili oleh 220 juta unit saham pada harga RM1.00 se saham. Dari jumlah itu, sebanyak 107, 800,000 unit atau 49% dimiliki oleh Felda Badan Berkanun sementara 112,200,000 atau 51% lagi oleh KPF.

Felda Badan Berkanun telah bersetuju "menyerahkan" 49% milikannya kepada FGV tetapi sehingga saat akhir FGV gagal mendapatkan persetujuan KFP untuk ia mengambilalih 51% milikan KPF di dalam FHB.  Akhirnya, hanya saham yang mewakili 49% harta milik Felda Badan Berkanun di dalam FHB dan saham baru mewakili harta FGV sendiri diapungkan di Bursa Malaysia. Saham mewakili 51% harta milik KPF tidak diapungkan.

Apabila 49% milikan Felda Badan Berkanun di dalam FHB diwakili oleh 107,800,000 saham diserapkan ke dalam FGV,  saham itu ditukarkan kepada 1,208,890,900 unit saham FGV. Ini ditambah dengan saham baru FGV berjumlah 1,089,445,000 menjadikan saham FGV yang diapongkan berjumlah 2,298,335,900 unit.

Milikan 51% KPF di dalam FHB diwakili 112,200,000 tidak diserapkan ke dalam FGV, bermakna, saham ini tidak diapongkan. Apabila diserapkan ke dalam FGV, 112,200,000 unit saham FHB ini bersamaan 1,349,815,600 saham FGV atau 37% dari saham FGV keseluruhan. Pada  harga tawaran awam awal sebanyak RM4.45 se saham, maka nilai pegangan saham mencecah RM6 bilion.

Agihan Saham FGV Sebelum Diapongkan

Pemilik

Jumlah Saham FHB

%

Bersamaan Saham FGV

%

Felda

107,800,000

49

1,208,890,900

33

FGV*

0

0

1,089,445,000

27

Jumlah Kecil

 

 

2,188,890,000

60

Saham "Greenshoe Option"

 

 

109,445,000

3

Jumlah Kecil

-

-

2,298,335,900

63

KPF

112,200,000

51

1,349,815,600

37

Jumlah Besar

220,000,000

100

3,648,151,500

100**

Nota:

* Pada 28 Jun 2012, jumlah saham yang diapongkan ialah 2,188,890,900 unit saham. Saham “Greenshoe option” diapongkan kemudian.

** Ini adalah jumlah saham FGV yang diapongkan selepas FGV mengambilalih 51% saham FFHB milik KPF seperti yang diumumkan pada 27 Disember 2013. Ini bermakna tambahan saham FGV yang diapongkan selepas 27 Disember 2013 ialah 1,349,815, 600. Saham “Greenshoe Option” telah juga diapongkan.

Sepertimana yang ditunjukkan di dalam jadual di atas, jumlah saham FGV yang diapongkan pada 28 Jun 2012 berjumlah 2,188,890,900 unit. Bermakna, hanya 60% daripada jumlah saham dijual kepada pelabur-pelabur. Lagi 40% tidak diapungkan terdiri daripada saham  milik KPF (37%) dan saham "Greenshoe Option” (3%).

Pada 27 Disember 2013 FGV mengumumkan bahawa ia telah membeli 112,200,000 unit saham FHB  bersamaan 51% yang masih dimiliki oleh KPF pada harga RM2,200,000,000. Dengan pembelian ini,  FHB kini dimiliki sepenuhnya (100%) oleh FGV.

Harga yang dibayar oleh FGV kepada KPF bersamaan RM19.61 sesaham. Sebagai perbandingan, Felda Badan Berkanun, apabila ia memindahkan 49% hak miliknya dalam FHB kepada FGV dikatakan telah memperolehi kira-kira RM6,000,000,000 atau RM55.66 se saham. Ini bermakna, harga yang dibayar oleh FGV kepada KPF untuk mengambilalih 51% milikan dalam FHB adalah RM36.05 lebih murah.

Ini menunjukkan bahawa KPF telah dikurangbayar khasnya apabila mengambilkira bahawa, pertama,  KPF telah melepaskan pemilikan saham dan pengawalan majoriti di dalam FBH kepada FGV. Kedua, memandangkan bahawa FHB, semasa transaksi itu berlaku, adalah sebuah syarikat yang berprestasi tinggi iaitu penyata kewangannya bagi tahun berakhir 31 Disember 2012 menunjukkan ia membuat keuntungan sebanyak RM482.2 juta dengan kedudukan wang tunai bersih sebanyak RM915.4 juta.

Amatlah menghairankan kenapa pihak KPF bersetujuan dengan harga belian di atas sedangkan telah diketahui umum bahawa Felda Badan Berkanun telah mendapat bayaran kira-kira sebanyak RM6 bilion atau RM55.66 se saham apabila ia menyerahkan 49% hakmiliknya di dalam FHB kepada FGV.

Juga, pada hari perundingan penjualan saham itu kepada FGV dimuktamadkan, harga tutup saham FGV di Bursa Malaysia ialah RM4.49 sesaham dan sejak  FGV disenaraikan pada 28 Jun 2012, harga sahamnya tidak pernah jatuh di bawah RM4.00 se saham.

Pihak KPF sepatutnya dan sewajarnya menggunakan rekod harga saham FGV sebagai rujukan utama dalam menentukan harga saham FHB yang dijual kepada FGV itu. Selanjutnya, perlu diingat bahawa harga tawaran awam awal saham FGV ialah RM4.45 se saham (untuk pelabur runcit).

Memandangkan perkara di atas, adalah tidak wajar sama sekali untuk pihak KPF tidak bertegas supaya FGV sekurang-kurangnya membayar harga yang sama seperti harga yang dibayar olehnya kepada Felda Badan Berkanun. Pada harga RM55.66 se saham, KPF sepatutnya memperolehi hasil sebanyak RM6.3 bilion. Maknanya, KPF dan ahli-ahlinya telah dikurang bayar sebanyak RM4.1 bilion.

Perkara-perkara berikut mungkin telah berlaku menyebabkan KPF dibayar jauh lebih rendah berbanding yang dibayar kepada Felda Badan Berkanun apabila menyerahkan 51% hanya di dalam FHB kepada FGV:

Pertama, Lembaga Pengarah KPF telah terlepas pandang. Kedua,  KPF tidak mendapat nasihat kewangan yang betul tentang nilai asetnya di dalam FHB. Ketiga, wujud pertentangan kepentingan dalam membuat keputusan untuk menjual kepentingan itu kepada FGV. Keempat, wujud salah laku sehingga berlaku pengkhianatan kepada KPF. Kelima, mungkin ada rasuah terlibat.

Penganalisis menyeru SKM dan badan-badan lain yang berkaitan membuat penyiasatan ke atas perkara ini. Janganlah biarkan peneroka yang sudah jatuh itu ditimpa pula oleh tangga. – HARAKAHDAILY 29/4/2015

Share on Myspace