Pengundi Pmtg Pauh tidak lupa Anwar - Wan Azizah

HARAKAHDAILY | .

PERMATANG PAUH: Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melahirkan rasa gembira dengan sambutan yang diberikan para pengundi kepada beliau selaku calon parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PKR) Permatang Pauh.

"Orang ramai beri sambutan macam kalangan keluarga yang lama tak jumpa," ujarnya pada sidang media PRK P.044 Permatang Pauh di Yayasan Aman, Penanti pagi ini.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Pilihan raya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli, Pengarah Pilihan raya PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, AJK PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar dan Datuk Amiruddin Hamzah.

Katanya, lebih menggembirakan beliau pada perjalanan kempen PKR ialah para pengundi tidak lupa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman di penjara Sungai Buloh.

"Perjalanan kempen bagus, mereka ingat kepada Anwar, mereka tanya apa khabar Datuk Seri Anwar," ujarnya yang juga Adun Kajang.

Beliau juga memberitahu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah isu penting yang diketengahkan kepada pengundi.

Ini, jelasnya kerana GST memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat terutama golongan bawahan.

"Rakyat tertekan dengan GST, GST adalah isu rakyat," ujarnya. - HARAKAHDAILY 29/4/2015

Share on Myspace