Bantah GST sasar 200,000 tandatangan petisyen

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Laman web bantahgst atau Golongan Susah Tertindas mensasarkan tandatangan petisyen sebanyak 200,000 orang sebelum 1 Mei nanti.

Laman web yang menggunakan alamat www.bantahgst.com yang tidak diketahui pemilik ini turut mempertikaikan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengatakan cukai GST (Goods and Services Tax) tidak membebankan rakyat.

Selain itu turut mempertikaikan kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan yang berkata, sebanyak 500 barangan akan diturunkan harga apabila GST dilaksanakan.

Sehingga hari ini laman tersebut berjaya mengumpul tandatangan petisyen seramai 38,132 orang.

Menurut laman web itu lagi, GST merupakan satu cukai yang rakus serta bersifat regresif yang membebankan rakyat dan golongan yang terbeban adalah rakyat berpendapatan rendah, persara, warga emas, pelajar dan golongan pertengahan akibat kenaikan harga barang.

Selain itu, laman bantahgst turut meminta agar kerajaan tidak membebankan rakyat memandangkan Malaysia sebuah negara yang kaya jika ia diurus dengan lebih amanah dan cara yang betul.

Orang ramai boleh mengunjungi laman web www.bantahgst.com bagi tujuan mencapai sasaran tandatangan petisyen 200 ribu. – HARAKAHDAILY 29/4/2015

Share on Myspace