Hanya seorang polis bantuan terlibat kes bunuh di Batam

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Hanya seorang daripada empat rakyat Malaysia yang didakwa terlibat dalam satu kes bunuh di Batam, Indonesia, adalah anggota polis bantuan, kata Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Penolong Ketua Sekretariat Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) ACP Datin Asmawati Ahmad berkata suspek dipercayai bertugas dengan sebuah badan berkanun Malaysia.

"Kes berlaku di luar negara, jadi ia terletak di bawah pihak berkuasa Indonesia.

"PDRM akan terus beri kerjasama kepada polis Indonesia untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sabtu lepas, media tempatan melaporkan dua daripada empat suspek yang ditahan polis Indonesia, mendakwa mereka adalah polis bantuan.

Laporan itu yang memetik satu sumber, berkata keempat-empat suspek dituduh membunuh rakyat Malaysia, Amar Aswan Azman, 30, di Batam, sehari sebelumnya. - Bernama

Share on Myspace