Najib enggan serah kalah, Tun M tak mungkin mengalah

SHAHBUDIN HUSIN | .

HANYA beberapa jam setelah Perdana Menteri, Najib Razak mengatakan beliau tidak akan menyerah kalah di sebalik pelbagai kritikan dan serangan terhadapnya, Tun Mahathir Mohamad juga memperlihatkan pendiriannya yang tidak mahu mengalah daripada terus menegur dan mengasak.

Jika malam tadi Najib mengungkapkan madah Bugisnya, Tun Mahathir hari ini bukan saja mengulangi kritikan mengenai gaya hidup mewah isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor bahkan menyifatkan kerajaan pimpinan Najib sebagai tidak bersih kerana menyebabkan banyak kehilangan wang serta meningkatnya hutang negara.

Beliau juga menyebut mengenai kos bunga untuk perkahwinan anak perempuan Najib dan Rosmah sehingga RM3 juta yang menjadi perbualan ramai dan diceritakan oleh ramai orang kepadanya.

Dalam konteks Najib, beliau dilihat sama sekali tidak mungkin berganjak dari kerusi Perdana Menteri yang sedang didudukinya, walaupun Tun Mahathir sudah beberapa kali mendesaknya agar berundur demi menyelamatkan nasib UMNO dan BN daripada ditimpa kekalahan.

Jika sebelum ini beliau mengatakan tidak rasa keseorangan, kali ini Najib memperlihatkan seolah-olah pantang baginya untuk menyerah kalah, sesuai dengan darah Bugis yang mengalir dalam tubuhnya.

Najib juga tidak mungkin menjawab segala kritikan Tun Mahathir terhadapnya, meskipun semakin ramai yang mahukannya berbuat demikian. Terbaru, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi - selepas Tengku Razaleigh Hamzah, Shahrir Samad, Khairy Jamaluddin, Shafie Afdal, Nur Jazlan dan beberapa yang lain, turut berpendirian bahawa Najib harus menjawab sendiri semua persoalan itu.

Sama ada Najib tidak mahu atau  tidak mampu menjawabnya, jawapannya ketika ini ialah beliau tidak mahu menyerah kalah atau lebih mudahnya ialah "saya masih mahu menjadi Perdana Menteri."

Tun Mahathir pula, sepertimana yang difahami oleh ramai orang, tidak pernah sama sekali mahu mengalah, menyarah kalah atau mengaku kalah atas sesuatu yang sudah dimulakannya.

Ini kerana beliau dikatakan tidak mungkin melakukan sesuatu jika tidak mempunya asas yang kukuh mengenainya.

Beliau juga ditafsir oleh ramai orang sebagai seorang yang semakin hebat pemikiran dan daya kreativitinya apabila menghadapi tekanan atau ketika sedang berbalah dengan seseorang.

Apabila Najib tidak mahu menyerah kalah, ramai yang merasakan Tun Mahathir, bukan saja akan lebih agresif dan berstamina, bahkan kemungkinan tampil dengan lebih maklumat dan idea luar biasanya lagi selepas ini.

Meminta Tun Mahathir berhenti mengkritik dan menegur juga seperti tidak munasabah. Ini kerana bukan saja beliau sudah menegur secara tertutup dan menulis surat tetapi tidak dipedulikan oleh Najib, lebih dari itu semua persoalan yang dibangkitkannya juga mendapat sokongan yang nyata daripada rakyat.

Dengan Najib tidak mahu menyerah kalah dan Tun Mahathir tidak mungkin mengalah, pertanyaan ramai orang ketika ini ialah apakah kesudahannya nanti?

Apakah pertembungan mereka ini akan berlarutan sehingga PRU14 nanti dan akhirnya menatijahkan "seorang menjadi abu manakala seorang lagi menjadi arang?"

Atau adakah Najib seharusnya dipaksa berundur demi masa depan UMNO dan BN kerana yang dikatakan menjadi beban sekarang ialah beliau dan bukannya Tun Mahathir?

Dengan pertembungan ini sudah memasuki episod getir sekarang, apakah ia menandakan sudah sampai masanya pimpinan dan ahli UMNO akar umbi harus bangun dan menyatakan pendirian mereka dengan segera, bukan lagi penentuan nasib parti sekadar berlegar di kalangan 191 Ketua Bahagian saja? - http://shahbudindotcom.blogspot.com/

Share on Myspace