Petani dinafi baja cap dacing belum berpenghujung

HUSIN TAWANG | .

PASIR PUTEH: Isu penafian baja subsidi cap dacing kalangan penanam padi yang pernah geger di Kelantan sejak awal 1990-an, masih belum berpenghujung.

Sedangkan isu itu sering kali dibangkit pada persidangan Dewan Undangan Negeri dan pernah diketengahkan ke peringkat menteri.

Malah bekas Pengerusi Kada, Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi Kada sekarang, Datuk Mohd Alwi Che Ahmad acap kali berjanji mahu menyelesaikannya.

Pernah berlaku di Pasir Mas petani diminta bersumpah menyokong Umno oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan sekiranya mahu mendapat pengesahan permohonan baja subsidi cap dacing.

Situasi itu juga berlaku kepada 127 petani Bukit Awang, Pasir Puteh apabila dinafikan mendapat baja subsidi cap dacing.

Seorang petani Mohammad Saat, 43, berkata sebelum ini beliau hanya menanam padi bagi menyara kehidupan keluarga.

Bagaimanapun katanya usahanya mendapat baja subsidi yang dibekalkan kerajaan pusat tidak menjadi kenyataan kerana kerenah birokrasi.

Menurutnya beliau tidak mampu untuk membeli baja di kedai kerana kosnya tinggi.

"Pada mulanya kami merayu bagi mendapatkan baja subsidi, namun rayuan ditolak dengan alasan tidak mendaftar Lembaga Pertubuhan Peladang.

“Sedangkan kami mendaftar Pertubuhan Peladang Pulau Lima. Sepatutnya masalah itu tidak berbangkit lagi kerana sudah mematuhi syarat ditetapkan," katanya ketika ditemui di sini.

Selain itu kata beliau masalah sistem pengairan di bawah projek Kemasin Semerak tidak berfungsi dengan baik.

Menurutnya biar pun ada parit dibina bagi mengalirkan air ke sawah, namun projek itu tidak berfungsi sebagaimana sepatutnya.  

Mohammad berkata halangan itu menyebabkan petani terpaksa mencari pekerjaan lagi bagi menyara kehidupan keluarga termasuk buruh binaan dan menoreh getah di tempat lain.

“Kami sekarang berpakat mengusaha bendang dengan tanaman getah kerana sudah lama tidak ditanam padi. Saya tidak ada pilihan lain bagi memanfaatkan tanah tersebut,” ujarnya.

Hassan Taib, 78, juga kecewa sawahnya tidak lagi dapat ditanam padi kerana masalah baja subsidi dan pengairan.

Katanya bendang sudah lama tidak diusahakan dengan tanaman padi kerana sukar mendapat baja subsidi yang dibekalkan kerajaan. - HARAKAHDAILY 30/4/2015

Share on Myspace