Ladang Rakyat: Laporan polis terhadap Isa Samad

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Satu laporan polis telah dibuat ke atas Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad ekoran kenyataanya yang berniat jahat dan menyebarkan fitnah terhadap projek Ladang Rakyat anjuran Kerajaan Negeri Kelantan.

Laporan yang dibuat di Balai Polis Gua Musang diketuai Penyelia Parlimen Gua Musang, Azman Ahmad, Penyelia DUN, beberapa orang Ketua Kampung dan peserta Ladang Rakyat.

Menurut pengadu Muhsin Mahmud salah seorang peneroka Felda di Ciku 3 Gua Musang, Isa Samad membuat kenyataan bahawa Perbadanan Ladang Rakyat yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri sejak tahun 2007 tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada penduduk miskin di negeri Kelantan.

"Kenyataan ini ternyata fitnah dan berniat jahat kerana program tersebut telah terbukti memberikan faedah setiap bulan sejak tahun 2007 kepada hampir 5,000 peserta di negeri Kelantan," lapornya.

Katanya, program ini telah banyak membantu meringankan beban kos sara hidup peserta terbabit.

Justeru, beliau meminta Isa Samad memohon maaf secara terbuka kepada Kerajaan Kelantan di atas kenyataan beliau yang tidak tepat dan berniat jahat untuk memburukan imej Kerajaan Kelantan.

Terdahulu, pada 26 April 2015 Portal Malaysiakini menyiarkan kenyataan Isa Samad yang berkata Kerajaan Kelantan telah gagal mambangunkan projek yang diuruskan oleh Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat yang tidak memberi manfaat kepada penduduk miskin di negeri itu.

Isa Samad turut mempersoalkan PAS bagaimana parti itu hendak menyelamatkan rancangan penempatan tanah untuk penduduk miskin luar bandar sedangkan parti itu sendiri gagal menguruskan ladang rakyat di Kelantan.

Sementara itu, Pengerusi Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman membidas Isa Samad yang sepatutnya menjawab isu-isu yang dibangkitkan oleh peneroka Felda.

Ia termasuklah isu yang berkaitan kejatuhan saham FGV, kes saman Felda, masa depan Koperasi Permodalan Felda dan Perumahan Generasi kedua dan ketiga.

"Malangnya, beliau cuba alih isu dan memfitnah pula Kerajaan Negeri Kelantan. Beliau tidak menjawab apa yang dipersoalkan oleh peneroka," tulis beliau di laman Facebooknya. – HARAKAHDAILY 30/4/2015

Share on Myspace