Selangor sedia RM50 juta atasi banjir di Kajang

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor akan mengemukakan anggaran peruntukan sebanyak RM50 juta di dalam Rancangan Malaysia ke-11 bagi menangani masalah banjir di Kajang termasuk banjir kilat yang berlaku di Sungai Kantan kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Zaidy Abdul Talib berkata anggaran kos itu juga merangkumi sembilan pakej utama iaitu melibatkan Sungai Jeluh, Sungai Jernih, Sungai Chua, Sungai Reko, Sungai Merbau, Sungai Ramal, Sungai Kantan dan Country Height.

Mengulas kepada kejadian banjir di Sungai Kantan kelmarin katanya, beberapa cadangan penyelesaian jangka panjang telah dikeluarkan iaitu syarat-syarat kebenaran merancang yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di mana pihak Pemaju Projek Mass Rapid Transit (MRT) telah dikenakan syarat untuk menaiktaraf Sungai Merbau dan membaikpulih kolam takungan sedia ada.

"Satu mesyuarat penyelarasan akan diadakan untuk menyegerakan kerja-kerja naiktaraf dan membina ban di Sungai Merbau serta meninggikan jambatan ‘bailey’. JPS  juga dalam penyediaan Rekabentuk Terperinci yang merangkumi sembilan pakej utama," katanya kepada Harakahdaily.

Namun katanya, JPS Daerah Hulu Langat telah menawarkan kerja-kerja penyelenggaraan sepanjang Sungai Merbau termasuk kerja-kerja penggalian semula Kolam Takungan banjir FACB dengan anggaran kos RM85,000 secara berkala bermula Februari 2015, Jun 2015 dan November 2015.

"Walau bagaimanapun pihak JPS Daerah telah memulakan kerja lebih awal berikutan daripada kejadian banjir yang terjadi. JPS juga mencadangkan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan 'inlet' dan 'outlet' serta penjajaran semula S-bend di pertembungan Anak Sungai Kantan dan Sungai Merbau," katanya ia sebagai cadangan penyelesaian jangka pendek.

Tegasnya, punca berlakunya banjir di Sungai Kantan kerana pembangunan MRT di Lembah Kelang, Jajaran Sungai Buloh-Kajang Pakej DPT2 mengakibatkan kejadian banjir kilat di Kampung Sungai Kantan.

Jelas Zaidy, keadaan ini berlaku juga di sebabkan jambatan bailey yang dibina oleh pihak MRT merentangi Sungai Merbau di mana ‘soffit level’ jambatan tersebut terlalu rendah mengakibatkan sampah sarap terperangkap.

"Ini sekali gus mengganggu aliran air sungai dan ‘backflow’ ke arah Kampung Sungai Kantan. Taburan hujan pula lebat melebihi daripada kuantiti kebiasaan iaitu 42mm di Hulu Sungai Merbau iaitu di Anak Sungai Kantan dan kawasan sekitarnya," kata beliau.

Paras air anak Sungai Kantan ke Sungai Merbau naik terlalu tinggi dari paras normal mengakibatkan air Sungai Merbau melimpah ke kawasan perkampungan Sungai Kantan selepas hujan lebat pada 22 dan 28 April baru-baru ini.

Dianggarkan sebanyak 15 buah rumah terjejas akibat kejadian banjir pada kedua–dua hari kejadian tersebut termasuk sebuah Sekolah Rendah Agama Sungai Kantan. – HARAKAHDAILY 30/4/2015

Share on Myspace