Wan Azizah yakin dapat sokongan pengundi

MOHD SABRI SAID | .

PERMATANG PAUH: Calon P44 Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yakin sokongan rakyat melonjak kepada Pakatan Rakyat setelah perjalanan kempen masuk hari keenam hari ini.

Katanya lagi, hasil turun padang ke lokasi yang bukan kubu Pakatan Rakyat juga mendapati perkembangan yang positif terutamanya kalangan pemuda pemudi yang rasa tertekan dengan kemunculan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

"Apabila saya turun jumpa orang ramai yang bukan ahli dan penyokong Pakatan Rakyat, ramai yang sesak nafas apabila memikirkan keadaan sekarang. Gaji tidak naik tapi kena bayar itu dan ini, " jelasnya semasa ditemui selepas majlis Bantah GST di tapak parkir Tapak Ekspo Seberang Jaya malam tadi.

Menurut beliau yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), inilah medan terbaik untuk rakyat menunjukan protes kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang berterusan angkuh, tidak bertimbang rasa dan suka menindas rakyat tanpa belas kasihan.

Jika dibiarkan mereka berkuasa sambungnya, hutang negara terus melambung.

GST jelasnya, walau dikenakan sekadar enam peratus namun sebenarnya menekan naluri rakyat tanpa disedari.

"Inilah masa terbaik untuk rakyat menghukum kerajaan yang zalim apabila memperkenalkan akta tidak sepatutnya di samping GST yang menjerat pendapatan rakyat bawahan, " katanya. – HARAKAHDAILY 30/4/2015

Share on Myspace