Pengundi Rompin, Permatang Pauh perlu sokong PR

MOHD SABRI SAID | .

PERMATANG PAUH: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, rakyat Permatang Pauh perlu memberikan undi kepada calon PKR pada PIlihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail supaya nama Pakatan Rakyat dijulang semula seperti pada awal 2008.

Katanya, kemenangan di Permatang Pauh amat perlu kerana jasa penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah terbukti berjaya menaikkan nama Permatang Pauh.

Tambahan pula, ujar beliau PRK Permatang Pauh diadakan berpunca daripada kerakusan Kerajaan BN yang menimbulkan konspirasi bukannya kehendak Pakatan Rakyat.

"Rakyat wajib mengundi dan memenangkan calon dari Pakatan Rakyat di Permatang Pauh dan Rompin. Kemenangan tersebut akan memberi isyarat bahawa rakyat menolak kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak," ujarnya ketika menyampaikan pidato di program Bantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di tapak parkir Ekspo Seberang Jaya malam tadi.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan raya PAS bagi PRK Permatang Pauh menambah, bukan sahaja Permatang Pauh mesti dimenangi Pakatan Rakyat bahkan juga di Rompin, Pahang melalui calon PAS, Ustaz Nazri Ahmad.

Menurutnya, para petugas PKR sedang bertungkus lumus membantu calon PAS mengalahkan calon BN di Rompin.

"Rakyat kena persalahkan Kerajaan BN kerana sengaja mengadakan PRK, mewujudkan GST, menaikkan harga barangan dan petroleum. Sebagai rakyat yang prihatin marilah beramai-ramai menolak kenaikan barang yang menindas kita," katanya. - HARAKAHDAILY 30/4/2015

Share on Myspace