Hak kebebasan berhimpun untuk perhimpunan aman

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menegaskan sekatan yang dikenakan terhadap sesuatu perhimpunan mestilah selaras dengan undang-undang dan bertujuan untuk melindungi hak berhimpun secara aman.

Suhakam juga mengakui hak kepada kebebasan berhimpun hanya terpakai untuk perhimpunan aman dan mengenepikan demonstrasi di mana-mana pihak penganjur berniat jahat dan mungkin mengakibatkan rusuhan.

"Walau bagaimanapun, kemungkinan berlakunya tindak balas ganas daripada peserta demonstrasi, sebagai contoh, tidak menghalang pihak polis untuk memberikan perlindungan," tegas Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada cadangan perhimpunan Hari Mei yang akan diadakan di Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur, esok.

Katanya, Suhakam juga mengulangi cadangannya dalam Laporan Siasatan Awam 2012 dan 2013 mengenai perhimpunan awam di mana Suhakam telah menekankan bahawa peserta perhimpunan awam tidak harus bertindak sewenang-wenangnya, bahkan perlu sentiasa menghargai dan menghormati peranan dan tanggungjawab pihak polis dalam mengekalkan dan memelihara keselamatan, keamanan, undang-undang dan peraturan.

Tambahnya, walaupun pihak berkuasa mempunyai tanggungjawab untuk mencapai keseimbangan yang saksama antara hak asasi untuk berhimpun secara aman dan hak-hak orang lain di kawasan yang terlibat dengan perhimpunan, Suhakam menasihatkan bahawa bantahan kepada sesuatu perhimpunan bukanlah alasan yang baik untuk mengenakan sekatan awal terhadap sesuatu perhimpunan.

Tambahan pula, katanya,  walaupun diakui bahawa perhimpunan awam boleh menyebabkan gangguan sementara atau gangguan kepada rutin aktiviti harian, mengikut definisi, perhimpunan hanya merupakan satu aktiviti yang sementara.

Terdahulu, Suhakam telah menerima permintaan untuk memantau perhimpunan di kedua-dua lokasi dan akan melaksanakan tanggungjawabnya sebagai sebuah institusi hak asasi manusia nasional.

Dalam konteks ini, Suhakam mengulangi pendiriannya di dalam Kenyataan Media Suruhanjaya pada 28 Jun 2011, 3 Mei 2012, 1 Mei 2014 dan 7 November 2014 iaitu setiap orang mempunyai kebebasan untuk berhimpun secara aman.

"Hak ini menyediakan ruang untuk kebebasan awam, yang merupakan tunggak utama bagi masyarakat demokratik dan ini jelas termaktub di dalam Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (Artikel 20), Deklarasi Hak Asasi Manusia Asean (Artikel 24) dan Perlembagaan Persekutuan (Perkara 10)," katanya.

Sempena Hari Pekerja 1 Mei yang akan disambut esok Sekretariat Himpunan Hari Pekerja #BatalGST yang terdiri daripada parti politik dan Badan Bukan Kerajaan akan mengadakan himpunan membantah pelaksanaan GST di Dataran Merdeka bermula jam 2.30 petang.

Pengerusi Sekretariat Batal GST Mohamad Sabu berkata, fokus dan tuntutan himpunan iru hanya satu iaitu menuntut agar pelaksanaan GST dibatalkan serta-merta.

Para perserta dikehendaki memakai baju berwarna merah sebagai tanda sokongan kepada himpunan itu. - HARAKAHDAILY 30/4/2015

Share on Myspace