Tun M mahu jelaskan kenapa ‘serang’ Najib

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Bermula hujung minggu lalu, Tun Mahathir Mohamad mula turun padang bertemu dengan orang ramai demi menjelaskan tindakannya yang mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Tun Mahathir menjelaskan tujuannya berbuat demikian dalam blognya http://chedet.cc.

“Jika ada yang fikir saya merosakkan parti, saya harap saya diberi peluang untuk menjelaskan kenapa saya ‘menyerang’ Datuk Seri Najib. Bagi saya serangan ini mungkin tidak menyenangkan Najib dan sebahagian daripada ahli Umno tetapi sebabnya ialah kerana saya ingin menyelamatkan Umno, parti keramat yang dahulu disokong sehingga menang 2/3 tiap PRU.

“Hanya mereka yang tidak dapat lihat sahaja yang tidak sedar bahawa Umno di bawah Najib telah gagal memulih Umno selepas Tun Abdullah. Kemenangan Najib lebih tipis.

“Saya harap saya diberi peluang berjumpa dengan ahli Umno biasa untuk menerang akan masalah kehilangan berbillion Ringgit oleh Najib. Lepas mendengar kedua-dua pihak adililah terhadap ‘serangan’ saya. Apakah saya sedang merosakan parti atau mencuba menyelamatkanya,” tulis beliau.

Tun Mahathir juga mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli akar umbi Umno yang menasihatinya supaya tidak mengkritik Najib.

“Saya punyai sedikit pengalaman dalam bidang politik, terutama yang berkaitan dengan budaya Melayu. Kita cenderung untuk setia kepada pemimpin. Kita tidak soal apa-apa yang dilakukan oleh pemimpin. Dia pemimpin, kita pengikut. Oleh itu, ikut sahajalah. Lebih-lebih lagi apabila kita diberi penerangan olehnya secara tertutup seolah-olah kita dapat berkongsi rahsia dengan pemimpin kita,” tulisnya lagi.

Dalam tulisannya itu, beliau turut memberi nasihat iaitu untuk membuat keputusan atau menghukum secara bijak dan adil, rakyat perlu mendengar penjelasan daripada kedua-dua belah pihak. – HARAKAHDAILY 30/4/2015.

Share on Myspace