Pengundi: Sokonglah PAS dan PKR untuk bantah GST

HARAKAHDAILY | .

Rakyat menerima GST dengan baik.

Itulah yang akan dikatakan oleh Datuk Ahmad Maslan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan juga media kawalan Umno-BN sekiranya Umno mendapat kemenangan di Rompin dan Permatang Pauh nanti.

Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad pula akan mengganggap warga peneroka tidak mengambil kisah dengan skandal-skandal yang melibatkan FGV dan menggangap segala penindasan yang dilakukan terhadap mereka tidak menjejaskan sokongan kepada Umno-BN.

Apakah itu yang ingin dilihat, wahai warga pengundi di Rompin dan Permatang Pauh?

Oleh itu, baliklah mengundi. Undilah untuk PAS dan PKR untuk membantah GST. Isyarat perlu disampaikan kepada Umno-BN bahawa rakyat menolak GST.

Jangan tersilap menghantar mesej, wahai warga pengundi di Rompin dan Permatang Pauh.

Jangan berikan Umno-BN sebarang alasan untuk meneruskan GST.

Jangan berikan peluang untuk Umno-BN menaikkan kadar GST.

Percayalah, sekiranya Umno-BN menang di Rompin dan Permatang Pauh, tidak mustahil kerajaan Umno-BN ini meningkatkan nilai GST pada tahun-tahun akan datang demi menampung keborosan hidup mereka dan juga hutang yang semakin menimbun.

Bahkan, Ahmad Maslan mungkin terasa rakyat berasa beliau lebih cerdik berbanding Tun Dr Mahathir. Apakah kita mahu Ahmad Maslan terasa bahawa rakyat lebih menerima hujahnya bahawa GST sudah berjaya menurunkan harga barangan daripada saranan Tun Dr Mahathir untuk memansuhkan GST? Sudah tentu tidak.

Bukan itu sahaja, kemenangan Umno-BN di Rompin dan Permatang Pauh juga akan diambil kesempatan untuk Najib bagi membuat deklarasi bahawa rakyat menerima skandal 1MDB tanpa masalah dan menolak segala dakwaan yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hutang RM42 bilion oleh 1MDB akan dilupakan sebegitu sahaja. Pendedahan-pendedahan mengenai 1MDB tidak akan lagi diendahkan kerana Najib beranggapan rakyat tetap menyokongnya meskipun terlibat dengan skandal sedemikian.

Oleh itu, saya seru warga pengundi di Rompin dan Permatang Pauh, baliklah mengundi. Sokonglah PAS dan PKR untuk bantah GST. Sokonglah PAS dan PKR untuk menghantar isyarat jelas kepada kerajaan Umno-BN bahawa mereka perlu menghentikan kezaliman mereka kepada rakyat.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Pengarah JK Induk PRK Rompin
30 April 2015

Share on Myspace