CAT: P Pinang catat lebihan Belanjawan setiap tahun

HARAKAHDAILY | .

PULAU PINANG: Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas mengucapkan syabas kepada barisan kepimpinan kerajaan negeri kerana hasil daripada urus tadbir Cekap, Akauntabitli dan Telus (CAT), kerajaan negeri berjaya mencatatkan lebihan Belanjawan setiap tahun semenjak mengambil alih tampuk pemerintahan pada tahun 2008.


Beliau menyatakan demikian pada majlis perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (Dun) ke-13, di sini hari ini.

"Saya difahamkan melalui lebihan Belanjawan sebanyak RM453 juta sejak tahun 2008, Kerajaan Negeri melaksanakan program-program bantuan sosial dengan peruntukan sebanyak RM287 juta warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal, surirumah, pelajar sekolah rendah dan menengah, bayi yang baru dilahirkan, waris warga emas, waris ibu tunggal dan waris OKU, semua mahasiswa dan mahasiswi universiti awam tempatan, nelayan, pemandu teksi, penarik beca serta bantuan kepada golongan miskin agar pendapatan isi keluarga secara bulanan melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negara sebanyak RM790 sebulan," ujar beliau.

Beliau menambah, baki lebihan Belanjawan itu digunakan untuk melaksanakan projek-projek untuk kegunaan awam seperti jalan raya, longkang, dewan orang ramai, rumah mampu milik dan perumahan awam, taman rekreasi, gelanggang futsal dan sukan serta menaiktaraf pasar awam.

Antaranya, kata beliau memperuntukkan RM5 juta bagi menaiktaraf tiga buah pasar awam termasuk Pasar Awam Samagagah di Permatang Pauh.

"Saya juga dimaklumkan bahawa kerajaan negeri juga sedang merancang untuk membangunkan semula 4.5 ekar Pasar Awam dan Kompleks Penjaja Bandar Seberang Jaya yang akan menelan belanja sebanyak RM12 juta.

"Jumlah yang paling besar untuk menaiktaraf pasar raya dalam sejarah pentadbiran negeri di Malaysia," ujarnya lagi.

Di samping itu, kata beliau RM11 juta dibelanjakan bagi pembinaan SPA atau Seberang Perai Arena di Seberang Jaya yang merupakan dewan paling cantik dibina oleh kerajaan negeri. - HARAKAHDAILY 30/4/2015

Share on Myspace