Mohon lot tapak rumah sejak merdeka tak lulus

HUSSIN TAWANG | .

ROMPIN: Realiti kehidupan penduduk di beberapa buah kampung sekitar Kuala Rompin memang memeritkan dan jauh daripada gambaran lunak yang sering kita dengar.

Kosim Man, 56, penduduk pengkalan feri memberitahu bahawa dia bersama rakan lain tinggal di sini lebih 40 tahun, namun tidak ada apa yang istimewa yang diperoleh daripada Barisan Nasional selain hanya ketika pilihan raya menjelang setiap lima tahun sekali.

"Inilah realiti kehidupan kami sejak 30 tahun lalu, tiada kemudahan eleketrik, bekalan air bersih, jauh sekali jalan yang selesa untuk sampai ke rumah kami.

"Saban tahun kalau kami di sini mengharungi kehidupan getir tanpa ada seorang pemimpin atau pegawai yang bertanggungjawab datang bertanya khabar sama ada ketika banjir mahu pun hari-hari biasa. Malah kalau orang kampung mahu berjumpa untuk mengadu masalah memang payah untuk kami berjumpa," rintihan ini disuarakan kepada rombongan PAS dalam program ziarah Sentuhan Kasih bersama Yang Dipertua PAS Kawasan Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad di sini semalam.

"Selepas pilihan raya tidak ada siapa yang bertanya khabar akan nasib kami yang merempat di negeri sendiri.

"Kami merempat kerana setiap permohonan untuk mendapatkan lot tapak rumah tidak pernah diluluskan walaupun anak jati Rompin, dan kami tidak mempunyai bekalan elektrik dan bekalan air bersih seperti orang lain selama tinggal di sini.

"Jadi untuk kali ini kami akan beralih kepada parti lain yang boleh memimpin kami di dunia dan akhirat.

"Saya juga menyeru kepada kawan-kawan lain supaya memberi mandat kepada pemimpin baru dan tinggalkan BN yang tidak bertanggungjawab dan jelas menghimpit kehidupan kita dan sekarang ini ditambah dengan bebanan GST," katanya

Bagi Ramli Man, 65, pula berkata dia yang menjadi ahli jawatankuasa Umno cawangan Sepayang sejak puluhan tahun lalu, namun tidak ada apa yang istimewa yang beliau dapat sebagai anak tempatan.

"Umno dia bukan nak membela kami malah terus menghimpit kehidupan kami dengan pelbagai masalah rekaan mereka sendiri.

"Hari ini saya ingin menyatakan bahawa saya tidak akan memilih calon dari Barisan Nasional dalam pilihan raya pada 5 Mei nanti sebaliknya akan memilih calon Pas.

"Cuba bayangkan, sejak merdeka permohonan tanah untuk tapak rumah saya di sini tidak di luluskan, dan saban tahun saya berusaha namun usaha itu hanya tinggal usaha sahaja. Kami dari Kampung Sepayang amat kecewa dengan Umno-BN,” Tegas Ramli

Menurut Datuk Dr Nik Mazian, Sebelum ini PAS menghadapi kesukaran untuk memasuki kawasan. Namun, pada kali ini bendera dan sepanduk dapat dipasang tanpa ada gangguan. Malah rombongan ini diterima baik oleh penduduk setempat. – HARAKAHDAILY 30/4/2015

Share on Myspace