Peneroka di Rompin kena insaf kedudukan Felda

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

Kita boleh andaikan bahawa kebanyakan peneroka Felda kurang arif sangat berkaitan perbandingan angka, turun naik saham ataupun terma-terma pelaburan. Tambahan pula jika agak kurang terbuka mendengar penjelasan pihak lain.

Namun kita penuh percaya generasi kedua dan ketiga Felda yang berpendidikan tinggi, berjawatan besar dan tinggal di ibu kota sesetengahnya amat memahami realiti Felda dan kedudukan agensi-agensi di bawahnya sekarang.

Justeru penjelasan daripada  bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Koperasi Permodalan Felda (KPF) Datuk Sarchu Sawal berhubung situasi semasa agensi pelaburan itu dalam sidang media khas di Rompin kelmarin, wajar dijadikan pedoman.

Beliau menjadi CEO selama 16 tahun tahun iaitu bermula  tahun 1996 hingga 2012 sementara kerjayanya di Felda sejak daripada tahun 1975 lagi.

Katanya, ketika beliau mulai menerajui KPF, saham koperasi induk bagi peneroka itu hanyalah bernilai RM200 juta. Namun setelah 15 tahun beliau, sahamnya melonjak RM2 bilion, iaitu meningkat 10 kali ganda.

Manakala dividen tahunan KPF bagi pencarum khususnya di kalangan peneroka memperoleh sebanyak lebih 15 peratus. Ertinya tertinggi melebihi Tabung Haji dan lain-lain. Malah ketika ekonomi meleset pada 1997, KPF tetap mampu memberi dividen sebanyak 10 peratus. Hasilnya, KPF diiktiraf sebagai koperasi terbaik di Malaysia dan tempat ke-20 di dunia.

“Namun koperasi yang memberi pulangan baik kepada peneroka, anak-anak mereka serta kakitangan Felda itu mengalami zaman gelapnya apabila saham KPF dibeli oleh Felda Global Venture (FGV). FGV disenaraikan di Bursa Malaysia dengan harga RM4.50 seunit. Sahamnya hari ini makin merudum sehingga bernilai hanya RM2.09. Dengan sendirinya ia memberi kesan kepada KPF menyebabkan peneroka sebagai pencarum utama KPF sukar untuk mendapat dividen seperti sebelum ini.”

Kata Sarchu, inilah nasib Felda di bawah pengerusinya Tan Sri Isa Samad yang dilantik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bukan lagi menjadi rahsia umum, ketika mengumumkan penyenaraian FGV, dijanjikan habuan besar kepada peneroka kononnya penyenaraian tersebut akan mengubah kehidupan peneroka ke satu tahap yang sukar digambarkan.

Kata Najib, peneroka akan terbeliak matanya apabila merasai kejayaan penyenaraian nanti. Tetapi hakikatnya, peneroka hari ini terpaksa membayar hutang bank setiap bulan kerana harga saham FGV yang diberikan 800 unit kepada mereka telah merudum jatuh.

Lebih malang lagi, KPF yang selama ini memberi untung kepada peneroka, turut menerima kesan dan padahnya. Bahkan turut didedahkan, dalam beberapa minggu ini ramai peneroka seluruh negara kemungkinan tidak menerima gaji atau wang hasil jualan komoditi mereka seperti dijadualkan.

“Kenapa teruk sekali prestasi Felda?” soal Sarchu.

Ertinya Felda dalam keadaan tenat dan kritikal di bawah Isa Samad sekarang. Namun ketika berada di Rompin untuk kempen pilihan raya kecil (PRK), beliau memilih untuk tidak menjawap persoalan yang dibangkitkan. Malah beliau menempelak kononnya ‘pembangkang hanya pandai menabur fitnah’.

Namun begitu penjelasan Sarchu sepatutnya menjadi inspirasi baru kepada warga Felda untuk melakukan perubahan. Generasi kedua dan ketiga Felda mesti bangkit mempertahankan hak mereka di samping menyedarkan orang tua mereka menjelang hari mengundi 5 Mei ini.

Perkara ini penting dan saling berkait kerana terdapat 53,294 jumlah pemilih berdaftar dalam PRK ini dan 52 peratus daripadanya ialah warga Felda.       

Perlu disedari, mengundi calon PAS Ustaz Nazri Ahmad merupakan pilihan terdekat pada masa ini untuk menyedarkan mereka yang duduk di atas. Isyarat tersebut boleh dilihat sebagai amaran kepada mereka bahawa warga Felda juga mempunyai ‘kuasa’ dan boleh menjatuhkan pemimpin yang rakus.

Tidaklah dikata orang nanti tanah rancangan Felda hanya ‘fixed deposit’ kepada BN sehingga mudah untuk diperkotak-katikkan. - HARAKAHDAILY 1/5/2015 

Share on Myspace