Pak Samad 'maskot' Himpunan #BatalGST

| .

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu memberi jaminan Himpunan Hari Pekerja #Batal GST petang ini akan berlangsung aman dengan membawa semangat tokoh pejuang Kelantan, Tok Janggut.

Beliau berkata, oleh kerana seratus tahun dahulu pada tarikh yang hampir sama, Tok Janggut bangun menentang sistem percukaian dikenakan British kepada rakyat khasnya di Kelantan, maka mereka memilih slogan 'Kami adalah Tok Janggut' bagi membantah cukai barang dan perkhidmatan (GST).

"Esok kita berjalan beramai-ramai, bawa suara kita, tidak terlalu perlahan, tidak terlalu laju kerana ada orang tua akan bersama-sama dalam himpunan ini.

"Kita ada Tok Janggut sekarang ini. Datuk A. Samad Said. Beliaulah maskot kita pada himpunan esok hari," kata beliau dalam ceramah Grand Finale Kita Lawan GST di Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, malam tadi.

Mohamad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Himpunan #BatalGST memberitahu, himpunan hari ini akan bermula jam 2.30 petang, selepas solat Jumaat.

Para peserta himpunan akan berkumpul di Masjid Negara, Masjid Jamek, Sogo dan Menara Maybank sebelum bergerak ke Dataran Merdeka.

Kemudian para peserta akan bergerak perlahan-lahan dari Dataran Merdeka menuju KLCC.

Warna merah dipersetujui sebagai warna rasmi himpunan hari ini.

Mereka mensasarkan satu juta akan orang akan memenuhi ibu kota petang ini. - HARAKAHDAILY 1/5/2015

Share on Myspace