Guar Jering bubar, tamparan buat Umno Permatang Pauh

MOHD SABRI SAID | .

PERMATANG PAUH: Umno Permatang Pauh khususnya calon BN pada PRK Permatang Pauh,  Suhaimi Sabudin menerima tamparan hebat apabila 60 ahli Umno Cawangan Guar Jering Jaya akan mengisytihar keluar parti untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurut bekas ketua Umno cawangan terbabit, Asri Ahmad, mereka bertindak demikian berikutan tidak mendapat perhatian daripada Umno sama ada bahagian mahupun negeri.

"Sejak 2006 kami tidak memperolehi apa-apa peruntukan tambahan lagi soal kebajikan seperti cawangan lain sekitar sini," jelasnya yang datang bersama 15 bekas ahli cawangan dalam sidang akhbar di Pusat Media PKR Yayasan Aman, Penanti pagi tadi.

Turut serta dalam sidang media tersebut ialah Adun Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin.

Beliau menambah, semua janji Umno dan BN adalah kosong hanya sekelompok pimpinan di atas yang mendapat hasil sedangkan ahli bawahan terumbang ambing tidak tahu untuk menaruh harapan kepada siapa.

"Kami dah putus harapan pada Umno," tegasnya.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Permatang Pauh, Sharmizan Mohamad Noor ketika dihubungi menyifatkan, perkembangan tersebut membuktikan isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) memakan diri Umno BN.

Beliau berharap Umno cawangan di Permatang Pauh mengikut langkah yang diambil oleh Umno Cawangan Guar Jering Jaya kerana sedar sokongan yang diberikan membawa mudarat kemudian hari. - HARAKAHDAILY 1/5/2015

Share on Myspace